Dua lelaki ditemukan lemas di Ampang Jajar

Dua lelaki ditemukan lemas di Ampang Jajar

ANGGOTA bomba membawa naik mayat salah seorang mangsa di Taman Persisiran Jeragan berhampiran jambatan tandop Ampang Jajar di Alor Setar, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditemukan lemas di Taman Persisiran Jeragan berhampiran jambatan tandop Ampang Jajar, di sini hari ini.

Mangsa, Saw Chee Wan, 16, dan N. Thiagarah atau Muhammad Amin Abdullah, 46, ditemukan berasingan pada jarak kurang 100 meter antara satu sama lain.

Ketua Zon Kota Setar, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.45 pagi berhubung penemuan mayat tersangkut pada timbunan sampah di permukaan Sungai Kedah.

“Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 8.54 pagi didapati seorang mangsa lelaki dewasa tersangkut pada tumbuhan yang terapung di permukaan sungai berhampiran jambatan dan dipercayai meninggal dunia.

“Pada pukul 10.16 pagi pula, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan seorang lagi mangsa terapung di permukaan sungai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa pertama dibawa naik ke tebing menggunakan jengkaut sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi mangsa kedua, anggota BBP Jalan Raja menggunakan bot aluminium untuk membawa mangsa naik sebelum turut diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Katanya, operasi yang melibatkan 15 anggota JBPM dari BBP Alor Setar dan BBP Jalan Raja dengan bantuan 10 anggota PDRM itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN