PETALING JAYA: Dua buah buah kenderaan rosak selepas dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di sebuah kawasan sekolah di Lorong Maarof, Bangsar, hari ini.
Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 12.13 tengah hari itu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai.
Katanya, pasukan dari BBP Pantai dengan bantuan BBP Seputeh digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati sebatang pokok telah tumbang di dalam kawasan sekolah dan menghempap dua buah kenderaan iaitu Honda Odyssey dan Toyota Altis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,operasi seterusnya melibatkan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan dahan pokok menggunakan dua unit gergaji rantai selain dibantu sebuah jentera berat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.35 petang,” jelasnya. – UTUSAN










