KUALA LUMPUR: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan agihan dividen 7.3 peratus membabitkan jumlah sebanyak RM126. 2 juta untuk 2025 kepada 154,000 anggota.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, agihan dividen itu diberikan lebih tinggi berbanding 7.1 peratus pada tahun sebelumnya.
“Kekuatan sebenar Koperasi Tentera bukan terletak semata-mata pada aset bernilai berbilion ringgit atau keuntungan yang dicatatkan setiap tahun.
“Ia terletak pada semangat kebersamaan, kepercayaan dan kesetiaan anggotanya yang terus berdiri teguh bersama koperasi ini sejak lebih enam dekad lalu, ” katanya dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-60 di Wisma Perwira hari ini.
Adly berkata, koperasi berjaya mencatat pendapatan bersih sebanyak RM278 juta untuk 2025 berbanding RM253 juta pada tahun sebelumnya.
“Di samping itu, keuntungan sebelum cukai dan zakat mencecah RM153 juta, ” jelasnya.- UTUSAN










