PETALING JAYA: Usaha mengurangkan kejadian pendaki sesat di negara ini tidak seharusnya tertumpu kepada penggunaan sistem log digital sebaliknya perlu dimulakan dengan membina budaya pendakian yang sihat melalui pendidikan, latihan dan disiplin dalam kalangan pendaki.
Presiden Kelab Pendaki Layskar Gunung, Datuk Dr. Mohd. Radzi Abdul Hamid berkata, pendekatan itu lebih berkesan kerana punca utama kejadian pendaki sesat lazimnya berpunca daripada kelemahan aspek persediaan dan pengetahuan, bukannya ketiadaan teknologi.
Menurutnya, antara faktor yang sering dikenal pasti ialah kurang ilmu navigasi, gagal merancang laluan pendakian, tidak memahami perubahan cuaca, terlalu bergantung kepada aplikasi telefon bimbit serta tidak mempunyai pelan kecemasan.
“Semua ini tidak akan dapat diselesaikan hanya dengan memperkenalkan sistem log digital.
“Keutamaan negara sepatutnya ialah membangunkan budaya pendakian yang sihat melalui pendidikan, latihan, pensijilan asas, kesedaran keselamatan dan disiplin pendaki.
“Ilmu yang diberikan kepada pendaki akan kekal bersama mereka sepanjang hayat, manakala teknologi hanyalah alat bantuan yang masih mempunyai kelemahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perbincangan mengenai sistem log digital juga tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada usaha mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas seseorang pendaki dilaporkan hilang.
Sebaliknya, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada langkah pencegahan supaya pendaki tidak tersesat sejak awal lagi.
“Jangan hanya melihat kepada operasi SAR semata-mata, tetapi lihat keseluruhan ekosistem pendakian.
“Mencegah seseorang daripada sesat sentiasa lebih murah, lebih berkesan dan lebih selamat berbanding menggerakkan operasi mencari dan menyelamat yang memakan masa, kos serta mempertaruhkan nyawa anggota penyelamat,” katanya.
Mengulas cadangan penggunaan sistem log digital, beliau berkata, teknologi itu boleh dipertimbangkan sebagai alat sokongan dalam pengurusan pendakian, namun tidak wajar dianggap sebagai penyelesaian utama kepada isu pendaki sesat.
Katanya, teknologi navigasi dan komunikasi tetap mempunyai kekangan terutama di kawasan hutan tropika yang mempunyai litupan kanopi tebal, bentuk muka bumi mencabar serta kawasan tanpa liputan komunikasi.
“Fokus sebenar ialah melahirkan pendaki yang berilmu, berdisiplin dan mampu mengurus risiko sendiri. Belajar sebelum sesat, bukan selepas hilang,” katanya.
Sebelum ini akhbar ini melaporkan cadangan mewujudkan sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional mampu memperkukuh SAR khususnya dalam mengesan pendaki yang sesat di kawasan hutan dan gunung.
Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad dilaporkan berkata, pihaknya menyokong cadangan itu kerana mampu membantu meningkatkan aspek keselamatan pendaki.
Katanya, kerajaan perlu membangunkan aplikasi khas bagi memudahkan pendaki membuat pendaftaran sebelum memulakan aktiviti, sekali gus membolehkan maklumat mereka diakses oleh pihak berkuasa dan malim gunung jika berlaku kecemasan.- UTUSAN










