Bicara kes rasuah konsesi Menara KL bermula 4 Januari

Bicara kes rasuah konsesi Menara KL bermula 4 Januari

MENARA KL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan perbicaraan selama 20 hari bermula 4 Januari 2027 bagi kes melibatkan Hydroshoppe Sdn. Bhd. (Hydroshoppe) dan pengarahnya berhubung pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Kes itu membabitkan dakwaan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi manfaat bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 7 Januari, 2 hingga 4 Februari, 16 hingga 18 Mac serta 8 hingga 10, 14 hingga 17 dan 21 hingga 23 Jun tahun hadapan.

Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada prosiding sama, mahkamah mengekalkan wang jaminan RM50,000 berserta syarat tambahan yang dikenakan terhadap pengarah syarikat berkenaan, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 52.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ifa Sirrhu Samsudin memaklumkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengguna pakai wang jaminan RM50,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen sebelum ini, dengan pihak pembelaan diwakili peguam Tang Jia Yearn.

Abdul Hamid Shaikh yang turut mewakili Hydroshoppe mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas kes berkenaan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 26 Mei lalu.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun, bagi faedah Annuar menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (b) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, iaitu menawarkan suapan kepada Ser Lay bagi faedah Annuar dengan niat yang sama di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A (1) (a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN