Isma AF7 belum mengalah, mahu terus relevan dalam industri seni - Utusan Malaysia

Isma AF7 belum mengalah, mahu terus relevan dalam industri seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Isma yang juga alumni Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), berharap peluang yang diberikan menerusi program Hotseat GV Fantasia mampu membuka lebih banyak ruang buat bekas peserta program realiti itu untuk terus aktif dalam industri seni tanah air.

Menerusi perkongsian di media sosial, Isma meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak GV Fantasia kerana memberi peluang kepada 25 alumni Akademi Fantasia untuk kembali merasai pengalaman serta kemeriahan berada di pentas menerusi segmen Hotseat.

Menurutnya, peluang tersebut bukan sekadar ruang untuk mengimbau kenangan, sebaliknya menjadi satu bentuk penghargaan terhadap perjalanan seni dan usaha bekas peserta Akademi Fantasia yang masih menyimpan impian untuk terus berkarya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terima kasih GV Fantasia kerana memberi ruang dan peluang kepada kami, 25 alumni Akademi Fantasia, untuk kembali merasai pengalaman dan kemeriahan pentas melalui Hotseat.

“Buat kami, terpilih atau tidak, bukan itu ukuran segalanya. Jauh di sudut hati, kami cuma berharap agar masih ada ruang dan peluang untuk kami terus berada dalam industri seni.

“Sesekali dijemput mengisi program televisyen, sesekali diberi peluang ke udara di radio dan sesekali nama kami kembali disebut serta diingati. Hakikatnya, kami masih ada. Kami masih berusaha, masih berkarya dan masih menyimpan impian yang sama,” katanya.

Tambah Isma, pengalaman bersama Akademi Fantasia telah membawa mereka melalui perjalanan yang cukup bermakna, sekali gus menjadi kenangan yang akan terus dihargai meskipun masing-masing kini mempunyai laluan kerjaya tersendiri.

Dalam masa sama, dia turut menitipkan kata-kata semangat buat 25 alumni yang bersama-sama menyertai Hotseat GV Fantasia serta seluruh bekas peserta Akademi Fantasia agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian masing-masing.

“Terima kasih Akademi Fantasia kerana membawa kami sejauh ini. Buat 25 alumni yang bersama-sama di Hotseat GV Fantasia dan semua alumni Akademi Fantasia, teruskan tersenyum dan berjuang.

“Kita datang dengan kisah dan perjalanan masing-masing, tetapi hari ini kita berkongsi satu rasa yang sama iaitu kita masih cintakan seni dan kita masih mahu berada di sini.

“Terima kasih atas segala kenangan, peluang dan sokongan. Semoga ini bukan sekadar pertemuan sementara, tetapi menjadi pembuka kepada lebih banyak peluang buat kami semua,” ujarnya.

Bagi Isma, peluang berkumpul semula menerusi program berkenaan sudah cukup memberikan kegembiraan dan semangat baharu untuk terus melangkah dalam dunia seni.

Malah, dia menyifatkan pengalaman di Hotseat GV Fantasia sebagai satu kenangan manis yang membuktikan bekas peserta Akademi Fantasia masih mempunyai semangat serta kecintaan mendalam terhadap bidang yang diceburi.

“Kami gembira berada di Hotseat GV Fantasia! Apa yang paling penting, kami masih ada dan kami belum mengalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini