MELAKA: Sebanyak 68 peratus anak muda di Melaka cenderung memberi keutamaan kepada aspek ketelusan, integriti dan tadbir urus baik dalam menentukan kepemimpinan kerajaan negeri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, statistik itu berdasarkan kajian yang menunjukkan golongan muda memberi perhatian kepada aspek pentadbiran dan integriti dalam memilih pemimpin.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini memberi peluang kepada pengundi muda berusia 18 tahun ke atas untuk memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negeri.
“Jadi sudah pasti kepimpinan yang berasaskan kepada isu-isu yang melibatkan ketelusan dan kalau mengikut kajian 68 peratus anak muda Melaka cenderung kepada isu-isu yang terkait dengan ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.
“Saya fikir pandangan anak muda Melaka ini baik kerana apabila kita mahu memimpin negeri, kita bukan sekadar terkait dengan sentimen dan sebagainya, tetapi perlu melihat kepada hala tuju negeri.
“Mereka melihat faktor kepemimpinan yang amanah, tadbir urus yang betul dan ketelusan dalam pentadbiran,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.
Adly berkata, sokongan pengundi pada PRN kali ini turut bergantung kepada keupayaan jentera parti menggerakkan penyokong tegar masing-masing untuk keluar mengundi.
Katanya, pengundi muda juga menjadi antara kelompok penting yang bakal menentukan keputusan pilihan raya, khususnya mereka yang pertama kali menunaikan tanggungjawab mengundi selepas pelaksanaan Undi18.
Katanya, PH berharap golongan berkenaan membuat pertimbangan berdasarkan isu kepemimpinan, integriti dan tadbir urus dalam menentukan pilihan mereka. – UTUSAN











