KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara mencukupi sehingga Ogos ini, di samping langkah berterusan dilaksanakan bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga dan harga di pasaran.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan sedang melaksanakan pemantauan harian terhadap bekalan serta harga barangan keperluan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap pengguna dan sektor ekonomi utama.
Beliau berkata, penyelarasan turut dilakukan bersama Petronas dan pemain industri bagi memantau kedudukan stok serta melaksanakan langkah kontingensi bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil.
“Sehingga kini, kerajaan dapat memastikan bekalan bahan api mencukupi sehingga Ogos 2026 dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan bahan api terus terjamin. Ini penting supaya aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan dan sektor kritikal dapat terus beroperasi.
“Bekalan beras negara termasuk stok penimbal juga masih terkawal, iaitu mencukupi untuk tempoh lima hingga enam bulan.
“Bekalan makanan asas, seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Akmal, pemantauan harga barangan keperluan mengikut lokasi dilaksanakan secara berterusan melalui platform PriceCatcher bagi memastikan pergerakan harga dapat dipantau dengan lebih efektif di seluruh negara.
“KPDN memantau 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 Pegawai Pemantau Harga.
“Penguatkuasaan terhadap pencatutan dan penyeludupan turut dipertingkat supaya tekanan global tidak dimanipulasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya. – UTUSAN










