KEPALA BATAS: Malaysia dijangka menandatangani perjanjian kerjasama jangka panjang dengan Rusia untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian itu bagi memastikan bekalan minyak, gas dan diesel negara ini terjamin sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebenarnya, dalam lawatan ke Rusia baru-baru ini, Presiden Putin (Vladimir Putin) telah bagi jaminan untuk satu perjanjian jangka panjang supaya bekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia ini terselamat.
“Kalau boleh, untuk tempoh inilah (sekurang-kurangnya 20 tahun) kerana mengenangkan persahabatan kita (bersama Rusia),” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Bertam di sini, hari ini.
Anwar berkata, usaha diplomatik yang dijalankan kerajaan bukan bertujuan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak, tetapi, bagi memastikan pembangunan negara terus diperkukuh dan kebajikan rakyat terpelihara.
“Orang sibuk bercerita kenapa saya tidak ke Johor dan Negeri Sembilan sedangkan ada PRN (Pilihan Raya Negeri) di sana.
“Tetapi, keutamaan yang perlu saya fikirkan sekarang adalah soal keperluan tenaga masa depan kita.
“Dalam hal ini, kita lega kerana pertemuan bersama Presiden Putin Presiden Turkmenistan sebelum ini membawa berita yang baik kepada Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Anwar bertemu Putin ketika mengadakan lawatan kerja ke Rusia beberapa hari lalu sebelum melawat Turkmenistan untuk bertemu Presiden negara itu, Serdar Berdimuhamedov. – UTUSAN










