PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya di seluruh negara adalah mencukupi sehingga hujung bulan Jun berbanding unjuran sebelum ini iaitu hingga hujung Mei tahun ini.
Petronas berkata, syarikat itu terus mengurus rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen minyak di bawah rangkaiannya susulan krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
“Petronas menyediakan kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara melalui anak syarikatnya yang tersenarai, Petronas Dagangan Berhad manakala selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat minyak nasional itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan boleh dipercayai untuk semua rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Petronas turut menyarankan orang ramai membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian serta mengelakkan pembelian panik atau penimbunan.
“Ini bagi memastikan bekalan kekal mencukupi untuk semua pengguna,” katanya. – UTUSAN










