SUNGAI PETANI: Seorang pengasuh wanita ditahan polis selepas bayi perempuan berusia 11 bulan jagaannya maut dipercayai akibat terjatuh kerusi di sebuah rumah di Taman Permaipura, Bedong, di sini Isnin lalu.
Wanita berusia 30-an itu ditahan tengah hari ini selepas polis menerima laporan daripada pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhubung kematian mangsa pada pukul 10.42 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda,Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, bayi terbabit menerima rawatan di hospital berkenaan sejak tiga hari lalu.
“Pada Isnin lalu, polis menerima laporan berkaitan kejadian seorang bayi perempuan tidak sedarkan diri selepas terjatuh kerusi ketika sedang disuap makanan oleh pengasuhnya.
“Laporan dibuat oleh bapa bayi itu selepas dia menerima panggilan dari pengasuh berkenaan pada pukul 2.15 petang, Isnin lalu yang dimaklumkan anaknya tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari kerusi.
“Bayi berkenaan pada awalnya dibawa ke sebuah hospital swasta tempat ibu bapanya bekerja namun dipindahkan ke HSB pada Selasa ekoran masih tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.
Kata Hanyan, Pasukan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah menahan pengasuh itu di rumahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya permohonan reman terhadap wanita itu akan dibuat di Mahkamah Sungai Petani, esok.
Difahamkan selain bayi malang itu, wanita terbabit turut menjaga seorang lagi bayi lain di rumahnya sejak mula menjadi pengasuh hampir setahun lalu. – UTUSAN










