Bayi meninggal di bawah jagaan pengasuh memasuki episod baharu - Utusan Malaysia

Bayi meninggal di bawah jagaan pengasuh memasuki episod baharu

MOHAMAD Yuzri Yaacob (kanan) dan Siti Munirah Ghozali (kiri) ketika ditemui selepas tampil menyalurkan maklumat di IPD Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Isu membabitkan kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan semasa berada di bawah jagaan pengasuh memasuki episod baharu apabila sepasang lagi suami isteri tampill membuat laporan terhadap pengasuh itu.

Pasangan itu, Mohamad Yuzri Yaacob, 35, dan Siti Munirah Ghozali, 35, tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau bagi membantu siasatan kes itu memandangkan sebelum ini mereka juga pernah menghantar bayi berada di bawah jagaan pengasuh terlibat.

Mohamad Yuzri berkata, sepanjang bayinya berada di bawah jagaan pengasuh berkenaan dalam tempoh hampir setahun, pihak terlibat pernah beberapa kali cuai dan mengabaikan anak kedua mereka itu.

“Saya hantar anak saya ke sana ketika berusia enam ke tujuh bulan dan terdapat beberapa kali (pengasuh) dipercayai cuai dalam penjagaan di mana anak kami pernah jatuh katil semasa dalam jagaan, sehingga terdapat kesan lebam.

“Malah pengasuh itu juga tidak maklumkan serta-merta kepada kami berhubung kejadian itu dan hanya beritahu semasa kami ambil anak pada waktu petang,” katanya ketika ditemui selepas tampil memberi keterangan selama kira-kira dua jam di IPD Arau di sini hari ini.

Pada 29 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1 di sini menuntut pembelaan susulan kematian bayi perempuan mereka berusia lapan bulan yang meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh pada 15 April lalu.

Aisyawati Isa, 34, bersama suaminya, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, meminta agar siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian anak mereka, Aufa Zayyana Mohamad Zaerwafar yang disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.

Susulan itu, polis turut mengesahkan menerima laporan berhubung kematian bayi berkenaan
iaitu sekitar pukul 7.19 malam menerusi panggilan dari Bahagian Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pada hari tersebut.

Sementara itu, Siti Munirah pula berkata, terdapat juga saksi lain mendakwa bayinya itu pernah ditinggalkan berdua bersama anak pengasuh yang berusia lima tahun di rumah.

“Saksi beritahu bayi kami pernah ditinggalkan bersama anak pengasuh berusia lima tahun di rumah berdua beberapa kali memandangkan dia (pengasuh) keluar untuk hantar seorang lagi anak ke sekolah. Disebabkan unsur pengabaian dan kecuaian ini, maka kami memilih tampil untuk salurkan maklumat bagi membantu siasatan kes kematian bayi di bawah jagaan pengasuh sama sebelum ini,” katanya.

Pasangan itu juga berharap kes tersebut dapat disiasat dengan sebaiknya bagi memberi pembelaan kepada keluarga mangsa terlibat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN