Bayi perempuan lapan bulan maut di rumah pengasuh

Bayi perempuan lapan bulan maut di rumah pengasuh

AHMAD MOHSIN MD. RODI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, maut semasa berada di bawah jagaan pengasuhnya di Taman Sri Wang di sini, pada 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sekitar pukul 7.19 malam menerusi panggilan dari Bahagian Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pada hari berkenaan. 

Beliau berkata, berdasarkan keterangan ibu bayi yang juga pengadu, dia mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian hidung dan dahi anaknya semasa pulang dari rumah pengasuh pada 7 April lalu. 

“Pengasuh memberitahu anak pengadu telah terjatuh dan terkena rak televisyen. Sebelum kejadian, anak pengasuh berumur enam tahun dikatakan sedang bermain dengan anak pengadu di ruang tamu rumah. Pengasuh memaklumkan anaknya ada memegang bayi itu.

“Setelah pulang ke rumah, pengadu telah memaklumkan kejadian itu kepada suaminya. Dia kemudian turut tuam dahi anaknya menggunakan ais dan bayi itu juga tidak dirujuk ke klinik memandangkan dalam keadaan baik serta sihat seperti biasa,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, namun begitu, pada 15 April sekitar pukul 5.16 petang, bayi itu dikatakan tidak sedarkan diri dan pengasuh itu turut  menghubungi pengadu bagi memaklumkan kejadian tersebut. 

Katanya, pengasuh juga mendakwa mendengar bayi itu menangis semasa berada di dapur lalu dia terus ke bahagian ruang tamu dan mendapati anak asuhannya itu dalam keadaan lesu serta tidak bermaya.

“Pengadu kemudian bergegas ke rumah pengasuh dan melihat anaknya dalam keadaan kejang. Dia dan pengasuh segera membawa bayi itu ke Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Arau dan dirujuk ke Unit Kecemasan HTF,” katanya. 

Ahmad Mohsin berkata, pemeriksaan Pegawai Perubatan HTF mendapati, bayi itu mengalami lebam di bahagian kiri dahi dan dalam keadaan sawan semasa dirujuk ke unit kecemasan hospital berkenaan.  

Katanya, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati, terdapat bengkak dan pendarahan pada bahagian otak bayi tersebut serta memerlukan prosedur pembedahan. 

“Pada 22 April sekitar pukul 5.08 petang, mangsa telah meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) HSB. 

“Pemeriksaan luaran ke atas mayat tidak menunjukkan tanda kecederaan pada badan mangsa. Terdapat pendarahan subdura pada semua bahagian dura otak terutama pada bahagian kiri dura. Kecederaan itu disebabkan oleh daya trauma tumpul pada bahagian kepala,” katanya. 

Katanya, pengasuh itu telah ditahan pada 16 April lalu sekitar pukul 2.30 petang dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN