SUNGAI PETANI: Wanita yang menjadi mangsa belasahan suaminya hingga cedera parah termasuk keguguran dalam kejadian pada 23 April lalu dalam proses memohon fasakh untuk membubarkan perkahwinannya dalam masa terdekat.
Mohd. Firdaus Mokhtar, 45, berkata, perkara itu disampaikan oleh adiknya, Nurfitri, 39, yang kini masih ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk menerima rawatan.
Ujarnya, mereka sekeluarga terkejut mendengar tindakan adiknya, namun selepas diberi penerangan dia dan keluarganya turut bersetuju dengan tindakan yang bakal diambil itu.
“Kami sokong kerana itu jalan terbaik, tambahan lagi selepas adik kata dia ingin membesarkan dua anak lelakinya, Muhammad Fatah Amin Khairul Azreen, 11, dan Muhammad Faris Amsyar, 8, tanpa mengharapkan kehadiran seorang ‘ayah’ untuk mereka.
“Adik mahu kedua-dua mereka membesar dengan sempurna dan tidak mahu lagi mereka turut menanggung trauma dengan kejadian yang menimpanya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Kata Mohd. Firdaus, keadaan mental dan fizikal adiknya sudah banyak menunjukkan perubahan termasuk mampu berbual dengan ahli keluarga dan kenalan terdekatnya, selain meminta pandangan mereka berkaitan masa depannya.
“Perubahan yang ditunjukkannya membuatkan kami sekeluarga bersyukur kerana tidak lagi bimbang kesan trauma kejadian itu yang boleh menjejas kehidupan sehariannya kelak. Dia juga mampu cerita detik hitam yang menimpanya sepanjang berkahwin,” katanya. – UTUSAN










