ALOR SETAR: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire dipercayai milik seorang pemain bola sepak kebangsaan disita gara-gara cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
Kenderaan itu ditahan dalam Op Luxury yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di hadapan Penjara Alor Setar di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, Khamis lalu.
Pengarah JPJ negeri, Stien Van Lutam berkata, semasa ditahan MPV berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan abang ipar kepada pemain bola sepak terbabit.
Katanya, pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) MPV itu telah tamat tempoh pada 18 November tahun lalu selain tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Pemandu itu memaklumkan dia tidak mengetahui cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi khas itu dijalankan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya tanpa mengira status atau latar belakang.
“JPJ Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan demi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa dipatuhi,” katanya. – UTUSAN










