Isu ejen kutipan jangan sampai jejas jutaan pengguna JPJ

Isu ejen kutipan jangan sampai jejas jutaan pengguna JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang pertikaian komersial berhubung perkhidmatan ejen kutipan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak seharusnya menjejaskan jutaan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan dalam talian agensi itu.

Presiden Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM), Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, isu penggantungan perkhidmatan JPJ kepada My E.G. Services Berhad (MYEG) dan Zetrix AI Berhad susulan pertikaian berkaitan tunggakan bayaran perlu diselesaikan segera tanpa menjejaskan kepentingan pengguna.

Menurutnya, perkhidmatan dalam talian yang disediakan MYEG selama ini menjadi kaedah yang lebih mudah, cepat dan praktikal kepada pengguna dalam menguruskan urusan berkaitan JPJ.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Gangguan perkhidmatan ini bukan sahaja menyukarkan sebahagian besar urusan pengguna, malah menimbulkan kegusaran serta ketidakpastian.

“Sehubungan itu, PERWATAM menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini dengan pihak MYEG dan memastikan perkhidmatan JPJ dapat dijalankan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu berkenaan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap penyedia perkhidmatan pihak ketiga serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

“Kepentingan dan kemudahan pengguna mesti menjadi keutamaan dan sebarang pertikaian antara pihak berkaitan tidak seharusnya menyebabkan pengguna menjadi pihak yang paling terkesan,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan JPJ digantung selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.

Menurut Anthony, tindakan itu diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan terbabit walaupun 35 peringatan telah diberikan, selain beberapa siri libat urus diadakan oleh pihak berkuasa sejak Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini