Speaker Dewan Rakyat terima notis Rafizi, Nik Nazmi kosongkan kerusi Parlimen

Speaker Dewan Rakyat terima notis Rafizi, Nik Nazmi kosongkan kerusi Parlimen

Mohd. Rafizi Ramli (kanan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa Isnin lalu.

Johari berkata, susulan itu, beliau telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kedua-dua kerusi Parlimen yang dikosongkan iaitu Pandan dan Setiawangsa.

“Sehubungan dengan itu, saya juga telah memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kedua-dua kerusi Ahli Parlimen yang berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kerusi Parlimen itu tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan SPR.

Sebelum ini, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan sekutunya, Nik Nazmi yang merupakan bekas Naib Presiden PKR, mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.

Keputusan itu disusuli dengan pengumuman kedua-dua mereka untuk meninggalkan PKR dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Untuk rekod, Bersama ditubuhkan pada 2 Disember 2016 di Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN