KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggantung keahliannya selama dua penggal.
Rosol berkata, beliau menerima pemakluman rasmi mengenai tindakan itu menerusi surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu bertarikh 29 April lalu yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.
Kata beliau, keputusan tersebut diterima dengan hati terbuka meskipun mengakui terdapat beberapa perkembangan dan tindakan dalam parti sejak kebelakangan ini yang dilihat kurang selari dengan asas perjuangan serta tidak konsisten dalam pelaksanaannya.
“Saya mengesahka menerima pemakluman mengenai penggantungan keahlian saya dalam Bersatu melalui surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin parti bertarikh 29 April.
“Akhir sekali, saya tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan penggantungan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rosol mengakui Bersatu banyak memberi peluang dan sumbangan dalam perjalanan politiknya dan beliau menghargai perkara itu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa semangat ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ yang menjadi asas perjuangan parti itu dilihat semakin terhakis dalam beberapa keadaan.
Beliau turut berpandangan Lembaga Disiplin parti memerlukan penambahbaikan terutama dari segi ketelusan serta pemisahan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan bagi memastikan ia lebih selari dengan prinsip keadilan.
Menurutnya, kredibiliti lembaga itu juga boleh dipersoalkan apabila entiti sama bertindak menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman.
Jumaat lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu manakala tujuh lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Dua ADUN dipecat ialah Abdul Razak Khamis bagi DUN Sungai Tiang yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah dan Dzowahir Ab. Ghani (ADUN Suka Menanti) yang juga Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar.
Tujuh wakil rakyat digantung keahlian pula membabitkan lima ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Rosol dan Datuk Khlir Mohd. Nor (Ketereh). – UTUSAN
Ends.










