RON95: Cadang cukai lebih tegas bank, syarikat gergasi

RON95: Cadang cukai lebih tegas bank, syarikat gergasi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya hanya ‘menekan’ rakyat menerusi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95, sebaliknya perlu berani me­ngenakan cukai lebih tegas terhadap syarikat gergasi termasuk institusi perbankan yang meraih keuntungan melampau melebihi 13 peratus, mencecah RM54 bilion tahun lalu.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, pendekatan itu lebih wajar dipertimbangkan sekiranya kerajaan benar-benar mahu melaksanakan semakan subsidi secara menyeluruh dan adil kepada semua pihak.

“Kalau nak semak, ia harus diteliti secara menyeluruh, bukan tertumpu kepada go­longan T20 sahaja kerana mereka pun pembayar cukai juga. Jangan double standard kepada pihak lain.

“Lihat juga kepada syarikat seperti bank-bank. Keuntungan mereka sebelum cukai hasil naik kepada 13.4 peratus sehingga RM54 bilion.

“Jadi, saya cadangkan bank memberi moratorium faedah satu tahun kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Ini untuk pinjaman sedia ada. Kepada PMKS yang pinjam RM200,000, RM50,000 pertama itu boleh dibayar tanpa faedah bagi membantu golongan tersebut. Ini antara cadangan yang boleh dipertimbang kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang meneliti kriteria kumpulan berpendapatan tinggi iaitu T5, T10, T15 dan T20 khususnya berkaitan garis pemisah pendapatan, sebelum pelaksana­an subsidi bersasar petrol RON95 dapat diperincikan.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan pemotongan subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi itu perlu dilaksanakan dengan segera dan secara berfasa.

Buat permulaan, katanya, ia boleh melibatkan jawatan menteri, ahli Parlimen, Exco kerajaan negeri sehingga individu berjawatan penting termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A sehingga JUSA C. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN