Pemergian Adam Putra beri kesan kepada skuad ragbi, sukan Pulau Pinang

Pemergian Adam Putra beri kesan kepada skuad ragbi, sukan Pulau Pinang

MUHAMMAD ADAM PUTRA SYAHRIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pemergian pemain ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Pulau Pinang ketika sedang menjalani sesi latihan di Padang Bola Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kulim, Kedah, semalam dianggap memberi kesan yang besar kepada pasukan berkenaan.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen.

Daniel berkata, beliau mengambil maklum akan insiden yang berlaku itu serta telah mengarahkan pegawai Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) untuk menghubungi keluarga mangsa.

“MSNPP akan membantu keluarga Allahyarham untuk mengharungi saat genting ini,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Adam Putra Syahril, 21, dipercayai rebah di atas padang sebelum disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan.

Walaupun mewakili skuad ragbi Pulau Pinang, Allahyarham yang juga merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dikatakan menetap di Kulim pada masa ini.

Sementara ini, MSNPP dalam satu kenyataan di laman Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian atlet muda itu sebagai satu kehilangan yang amat besar buat dunia sukan di Pulau Pinang.

“Semoga segala jasa, semangat juang dan pengorbanan arwah sepanjang mewakili pasukan akan sentiasa dikenang,” kata kenyataan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN