Tun Dr Hasmah kariah aktif di Masjid As Syarif - Utusan Malaysia

Tun Dr Hasmah kariah aktif di Masjid As Syarif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Tun Dr Hasmah Mohamad Ali adalah antara kariah yang aktif di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, sejak kira-kira lima tahun lalu.

Imam Tiga Masjid As Syarif, Dzulhayah Wahab berkata, Dr Siti Hasmah adalah kariah yang kerap hadir dalam program yang dianjurkan masjid berkenaan.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, beliau kerap menghadiri program kami (anjuran masjid terbabit termasuk majlis berbuka puasa serta solat tarawih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, beliau rapat dengan AJK (ahli jawatankuasa) masjid. Beliau sudah seperti kawan yang mesra kepada kami.

“Jadi, mungkin sebab itu, masjid ini dipilih untuk diadakan solat jenazahnya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid As Syarif, Mohamad Reduan Mohamad Daud berkata, pihaknya cuba membuat yang terbaik bagi menjalankan tanggungjawab fardu kifayah menguruskan solat jenazah Dr Siti Hasmah.

“Beliau selaku ahli kariah di masjid ini, jadi kami cuba buat yang terbaik. Sekiranya ada kekurangan daripada pihak masjid, kami minta maaf.

“Sejujurnya, kita tidak meletakkan sebarang harapan daripada orang ramai apabila masjid ini menjadi tumpuan.

“Niat kami ikhlas menyelesaikan urusan jenazah beliau selaku kariah masjid ini,” katanya.

Menurutnya, kehadiran orang ramai bagi memberi penghormatan kepada Dr Siti Hasmah adalah di luar jangkaan.

“Dianggarkan lebih 2,000 orang yang hadir dan jumlah itu memang di luar jangkaan.

“Namun, kita tahu beliau bukan calang-calang orang, boleh dikatakan sebagai ibunda negara.

“Rasanya ramai yang mahu hadir, namun disebabkan kekangan masa serta tempat ini yang sempit mungkin mengehadkan pergerakan.

“Namun, jumlah yang hadir dikira ramai. Ia (jumlah kehadiran yang ramai) adalah rezeki buat beliau,” katanya.

Terdahulu, solat jenazah Dr Siti Hasmah selesai jam 5.15 petang sebelum dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya jam 5.20 petang.

Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×