130,000 kereta terpakai dikesan pernah kemalangan

130,000 kereta terpakai dikesan pernah kemalangan

Kesedaran pengguna mengenai hak untuk mengetahui sejarah kenderaan juga semakin meningkat sejak kemunculan syarikat pemula seperti SCRUT pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 130,000 buah kereta terpakai di negara ini dipercayai pernah terlibat dalam kemalangan serius, sekali gus mendedahkan pembeli kepada risiko ditipu sekiranya gagal membuat semakan sebelum membeli.

Lebih membimbangkan, hampir 50 peratus daripada keseluruhan kereta yang disemak dilaporkan mempunyai unsur penipuan kondisi termasuk manipulasi bacaan meter perbatuan, sekali gus menggambarkan industri jual beli kereta terpakai masih dibelenggu amalan tidak beretika.

Pengasas bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel atau lebih dikenali sebagai Nik Izwan Kamel berkata, situasi itu masih berada pada tahap membimbangkan apabila tiga daripada 10 kereta yang disemak melalui platform tersebut didapati pernah mengalami kemalangan serius.

Menurut beliau, jumlah itu dianggap tinggi memandangkan pasaran kereta terpakai di negara ini merekodkan sekitar 450,000 transaksi setiap tahun dengan nilai industri mencecah hampir RM20 bilion.

“Jika dahulu daripada 10 buah kereta yang membuat semakan dengan SCRUT, tiga buah kereta dilaporkan pernah terlibat dengan kemalangan serius, hari ini juga masih sama.

“Ini bermaksud lebih kurang 130,000 buah kereta terpakai sebenarnya pernah terlibat dengan kemalangan,” katanya.

NIK MUHAMMAD IZWAN

Beliau berkata, sebelum kewujudan sistem semakan seperti SCRUT, kebanyakan pengguna hanya bergantung kepada cerita penjual tanpa mempunyai saluran pengesahan yang boleh dipercayai.

Katanya, revolusi teknologi yang dibangunkan platform itu kini membantu pengguna mendapatkan maklumat sebenar mengenai sejarah sesebuah kenderaan sebelum membuat keputusan pembelian.

Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, sehingga kini hampir 43,000 pengguna berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa penipuan selepas semakan mendapati kenderaan yang ingin dibeli mempunyai rekod kemalangan serius.

“Kita tidak tahu sepenuhnya apa yang berlaku selepas pelanggan membuat semakan, namun rekod menunjukkan kira-kira 43,000 kereta didapati pernah terlibat dalam kemalangan serius.

“Sekurang-kurangnya mereka sudah tahu keadaan sebenar kereta yang mahu dibeli. Sama ada mahu meneruskan pembelian atau tidak, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Menurut beliau, kesedaran pengguna mengenai hak untuk mengetahui sejarah kenderaan juga semakin meningkat sejak kemunculan syarikat pemula seperti SCRUT pada 2019.

Malah katanya, tribunal pengguna kini mula menerima laporan pihak ketiga sebagai dokumen sokongan dalam tuntutan berkaitan penipuan jual beli kereta terpakai.

“Baru-baru ini tribunal pengguna memutuskan kemenangan kepada seorang pengguna yang ditipu syarikat penjual kereta terpakai melibatkan tuntutan RM28,000 dan antara dokumen hujah dikemukakan ialah laporan SCRUT,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan alasan atau ‘skrip jualan’ seperti kereta milik pemilik pertama, digunakan wanita, guru atau golongan agama kerana dakwaan sedemikian tidak menjamin keadaan sebenar sesebuah kenderaan.

Sebaliknya katanya, pengguna perlu mendapatkan nombor pendaftaran atau nombor badan kenderaan untuk membuat semakan sejarah selain membawa kereta ke bengkel dipercayai bagi pemeriksaan menyeluruh.

“Yang akan membayar ansuran selama lima hingga sembilan tahun adalah pembeli sendiri. Lebih baik laburkan sedikit masa dan wang untuk elak kerugian lebih besar pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN