SCRUT Garage sasar 100 bengkel sertai platform digital

SCRUT Garage sasar 100 bengkel sertai platform digital

Aliff Ahmad (berdiri empat dari kiri) dan Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel (berdiri lima dari kiri) pada majlis pelancaran Aplikasi Scrut Garage di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SCRUT Garage menyasarkan sekurang-kurangnya 100 bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif menyertai platform digitalnya menjelang pelancaran rasmi kepada pengguna pada September ini.

Menurut Pengasas Bersama SCRUT Garage, Aliff Ahmad, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha membina ekosistem pendigitalan industri servis automotif tempatan serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) automotif beralih kepada sistem pengurusan digital.

Katanya, ketika ini, lebih 20 syarikat, yang majoritinya dimiliki usahawan bumiputera, telah menyertai platform yang dioperasikan oleh Scrut Technology Sdn. Bhd.

“SCRUT Garage ialah aplikasi pengurusan kenderaan dan sistem operasi bengkel digital yang menghubungkan pengguna dengan pelbagai penyedia perkhidmatan automotif termasuk bengkel, pusat servis dan penyedia perkhidmatan berkaitan menerusi satu platform digital.

“Aplikasi itu membolehkan pengguna merekodkan sejarah penyelenggaraan kenderaan secara sistematik, selain membantu pengusaha bengkel mengurus operasi harian dengan lebih cekap,” katanya dalam kenyataan.

SCRUT Garage dibangunkan berdasarkan pengalaman mengendalikan bengkel kenderaan sejak syarikat ditubuhkan pada 2017, sekali gus membolehkan penyelesaian yang dibangunkan memenuhi keperluan sebenar industri.

Pengalaman tersebut memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap cabaran yang dihadapi pengusaha bengkel serta membolehkan pembangunan perisian dan aplikasi yang lebih praktikal berbanding penyelesaian yang dibangunkan tanpa pengalaman operasi dalam industri.

Dalam pada itu, seorang lagi Pengasas Bersama SCRUT Garage, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd. Kamel berkata, lebih banyak bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif digalakkan menyertai platform ini sebelum pelancaran rasmi kepada pengguna bagi membolehkan lebih ramai PKS menikmati manfaat pendigitalan tanpa perlu menanggung kos pembangunan sistem yang tinggi.

Katanya, kebanyakan bengkel, khususnya bengkel kecil dan sederhana, masih belum mempunyai sistem pengurusan digital sendiri kerana kos pembangunan perisian yang tinggi.

“Melalui SCRUT Garage, pengusaha bengkel tidak perlu membuat pelaburan yang besar. Mereka hanya perlu menyertai ekosistem sedia ada untuk berkongsi kemudahan yang sama bagi mengurus operasi harian serta memperluaskan capaian kepada pelanggan.

“Penyertaan lebih banyak penyedia perkhidmatan juga akan membolehkan pengguna menikmati rangkaian servis automotif yang lebih menyeluruh sebaik sahaja aplikasi itu dilancarkan kepada umum,” katanya.

SCRUT Garage merupakan platform berasaskan integriti yang menggunakan data automotif yang sah bagi meningkatkan ketelusan dalam ekosistem kenderaan terpakai, di samping membantu mengurangkan penipuan dan maklumat mengelirukan berkaitan kenderaan.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah laporan sejarah kenderaan, pemeriksaan kenderaan serta penyelesaian data automotif berasaskan API.

Berbeza dengan platform lain, SCRUT Garage tidak terlibat dalam urusan jual beli kenderaan. Sejak penubuhannya, jenama SCRUT dibangunkan berasaskan prinsip integriti yang menjadi asas kepada kepercayaan pengguna terhadap laporan pemeriksaan kenderaan yang disediakan.

Jelas beliau, istilah “Scrut” turut digunakan sebagai kata kerja bagi merujuk kepada proses pemeriksaan sesebuah kenderaan, sekali gus mencerminkan keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut. Prinsip integriti itu akan terus dikekalkan dalam pembangunan ekosistem digital SCRUT Garage.

SCRUT Garage masih mempunyai ruang pertumbuhan yang besar memandangkan ketika ini platform tersebut hanya meliputi sebahagian kecil daripada pasaran pemeriksaan dan servis automotif tempatan.

Pasaran kereta terpakai di Malaysia mencatat sekitar 500,000 hingga 600,000 transaksi setiap tahun, manakala SCRUT Garage ketika ini meliputi kurang daripada lima peratus daripada jumlah tersebut.

Bagi segmen kenderaan recond pula, terdapat kira-kira 45,000 transaksi setiap tahun dan SCRUT Garage ketika ini meliputi sekitar 15 peratus daripada pasaran berkenaan. Keadaan ini menunjukkan potensi pertumbuhan yang masih besar bagi syarikat pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN