SCRUT Garage guna AI bantu pemilik kereta elak ditipu bengkel - Utusan Malaysia

SCRUT Garage guna AI bantu pemilik kereta elak ditipu bengkel

SCRUT melancarkan aplikasi SCRUT Garage bersempena majlis SCRUT Appreciation Night di Bora Ombak, di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan kini boleh mengurus penyelenggaraan kereta dengan lebih mudah dan teratur menerusi aplikasi SCRUT Garage yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus membantu mengurangkan risiko ditipu pengusaha bengkel.

Aplikasi yang dibangunkan syarikat teknologi automotif tempatan, SCRUT itu dilancarkan bersempena majlis SCRUT Appreciation Night di Bora Ombak, di sini, semalam.

Ia membolehkan pengguna menyimpan rekod penyelenggaraan, memantau keadaan kenderaan serta menerima peringatan servis dan cadangan penjagaan kereta berasaskan AI.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengasas Bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel berkata, aplikasi itu turut membantu pemilik kenderaan membina rekod digital lengkap berkaitan servis, pembaikan dan penjagaan kenderaan yang boleh dirujuk pada masa hadapan.

“Rekod penyelenggaraan yang lengkap dan telus berpotensi meningkatkan nilai jualan semula kenderaan.

“Ini kerana ia memberikan keyakinan kepada bakal pembeli terhadap keadaan serta sejarah kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, seorang lagi Pengasas Bersama SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, aplikasi berkenaan turut membantu pengusaha bengkel mengekalkan pelanggan sedia ada, menggalakkan kunjungan berulang dan meningkatkan peluang jualan menerusi peringatan servis serta penyelenggaraan secara berkala.

“SCRUT Garage merekodkan lebih 10,000 pemilik kenderaan berdaftar, selain penyertaan lebih 100 usahawan automotif dalam platform berkenaan.

“Secara keseluruhan, ekosistem SCRUT kini mempunyai lebih 250,000 pengguna,” katanya.

Menurut Ahmad Aliff, penggunaan teknologi digital bukan sahaja memudahkan urusan pemilik kenderaan, malah membantu pengusaha bengkel meningkatkan mutu perkhidmatan dan kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

Dalam perkembangan berkaitan, SCRUT turut mengumumkan inisiatif pengumpulan dana menerusi kaedah Equity Crowdfunding (ECF) melalui platform pendanaan ekuiti berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Inisiatif itu membuka peluang kepada orang ramai untuk memiliki pegangan ekuiti dalam syarikat, tertakluk kepada terma, syarat dan risiko pelaburan.

SCRUT menyasarkan pembangunan ekosistem automotif digital yang merangkumi keseluruhan perjalanan pemilikan kenderaan.

Bermula daripada pembelian dan pemeriksaan hingga penyelenggaraan serta penjualan semula sehingga dengan menggabungkan teknologi, data kenderaan dan rangkaian penyedia perkhidmatan automotif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini