PETALING JAYA: Dakwaan pembeli ditipu dan ditindas ejen jualan kereta terpakai mewujudkan persepsi buruk terhadap industri, menyebabkan kenderaan berkenaan tidak lagi menjadi pilihan pengguna.
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan mengenai tipu helah ejen penjual kenderaan terpakai.
Kata beliau, antaranya adalah dakwaan kenderaan dibeli tidak pernah mengalami kemalangan tetapi sebaliknya dan mengubah meter jarak bagi melihatkan kenderaan berkenaan seperti baharu.
“Apabila beli kenderaan terpakai, ada yang tidak sampai seminggu sudah mempunyai masalah, jadi ini menyusahkan pengguna untuk pergi semula ke premis berkaitan dan membuat aduan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Industri itu sendiri sudah mengubah kepercayaan pengguna terhadap kenderaan terpakai dan sekarang sudah banyak kereta tempatan baharu yang menawarkan harga murah dan lebih jimat minyak, jadi itu menjadi pilihan pengguna sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, industri kenderaan terpakai kini dilihat semakin perlahan dan menunjukkan tanda-tanda sukar menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
Malah, strategi pengusaha juga dilihat semakin kurang relevan apabila pengguna cenderung memilih kenderaan baharu yang menawarkan teknologi lebih moden serta kemudahan pembiayaan yang lebih mudah.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, situasi tersebut bakal menyebabkan lebih banyak lambakan kenderaan terpakai di negara ini.
Katanya, kos efektif untuk memiliki kenderaan memainkan peranan penting terhadap pertimbangan pembeli termasuk harga minyak petrol dan kos penyelengaraan.
“Tetapi sekiranya ada pasaran kenderaan elektrik (EV) atau khusus pada kenderaan hibrid, mungkin ia boleh mengubah struktur pasaran kenderaan terpakai. Jadi syarikat boleh menonjolkan kenderaan ini bagi meningkatkan penjualan mereka,” katanya.
Tambahnya, industri kenderaan terpakai perlu memikirkan kaedah baharu untuk memperoleh keyakinan pembeli dan memastikan mereka bergerak seiring dengan peredaran zaman.
“Industri kenderaan terpakai memang sedang mengalami atau menuju ke arah ‘sunset’ kerana ia tidak lagi menjadi pilihan pengguna atas pelbagai faktor termasuk kosnya yang tinggi.
“Jadi industri boleh menggunakan kaedah baharu, daripada menjual mereka boleh menawarkan perkhidmatan menyewa kenderaan terpakai kepada kumpulan yang memerlukan kenderaan tetapi tidak mahu menghadapi bebanan kewangan,” katanya. – UTUSAN










