Lambakan pasaran kereta terpakai 1,500cc ke atas?

Lambakan pasaran kereta terpakai 1,500cc ke atas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenderaan terpakai berkapasiti enjin 1,500cc ke atas dijangka berlaku lambakan di pasaran pada masa akan datang berikutan beberapa faktor utama termasuk kos pinjaman lebih tinggi, penyelenggaraan yang membebankan serta penggunaan petrol yang lebih banyak.

Sehubungan itu, pembelian kenderaan dalam kategori tersebut juga dijangka terkesan dengan pelaksanaan subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.

Pakar turut menjangkakan sebanyak 55 peratus pengguna yang menggunakan kenderaan 1,500cc ke atas akan menjual kenderaan mereka serta beralih kepada kereta lebih kecil atau kenderaan elektrik.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pembeli yang memilih kereta terpakai lazimnya perlu membuat pinjaman semula dengan institusi kewangan dan ini menjadikan bayaran bulanan lebih mahal berbanding kereta baharu kelas bawah 1,500cc.

Beliau turut berkata, penjualan kereta terpakai berkapasiti enjin 1,500cc ke atas dijangka terjejas kerana rakyat akan lebih berhati-hati sebelum membeli.

“Kebanyakan kereta terpakai 1,500cc ke atas ini bukan sahaja menanggung pinjaman bulanan lebih tinggi, malah kos penyelenggaraan juga meningkat kerana usia kenderaan yang sudah lama.

“Ditambah pula dengan kuasa enjin lebih besar, sehingga memerlukan penggunaan petrol lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa kenderaan dalam kategori tersebut boleh menjadi beban kepada pemilik yang masih mempunyai pinjaman bank atau syarikat kewangan, sekali gus menyukarkan mereka untuk menjualnya dalam tempoh terdekat.

“Kalau kereta masih ada hutang, terutama pinjaman, pemilik sukar untuk menjual kerana nilai kereta sudah jatuh dan baki hutang serta faedah belum selesai dibayar. Jika dijual, mereka mungkin terpaksa menambah wang.

“Sebab itu, pilihan yang ada adalah terus menggunakan kenderaan sedia ada dan menyesuaikan penggunaan 300 liter subsidi petrol dengan keperluan harian dan bulanan,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan majoriti rakyat Malaysia menggunakan kenderaan persendirian bawah 1500cc yang mana jumlah penggunaan petrol rendah dan menjimatkan.

Berdasarkan data pendaftaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 2024 sebanyak 816,742 kenderaan persendirian telah dijual, dan daripada jumlah itu 454,562 buah adalah dari kelas 1,500cc dan ke bawah.

Angka ini mewakili kira-kira 56 peratus daripada keseluruhan kenderaan persendirian yang dijual pada tahun lalu dan ia selari dengan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mana setiap individu layak menikmati sehingga 300 liter.

Berdasar statistik tersebut, majo­riti rakyat negara ini yang berpendapatan sederhana dan rendah menggunakan kereta buatan tempatan keluaran Pero­dua ataupun Proton di samping beberapa model import seperti Honda dan Toyota yang kapasiti semuanya adalah di bawah 1,500cc.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan subsidi petrol RON95 dijangka memberi kesan langsung terhadap pasaran kenderaan terpakai berkapasiti enjin 1,500cc ke atas apabila sebahagian pemilik mungkin mengambil keputusan menjual kenderaan mereka.

Beliau berkata, kereta bersesaran enjin lebih 1,500cc, penggunaan petrol biasanya lebih tinggi.

“Maka 300 liter sebulan mungkin tidak mencukupi, sekali gus mendorong sebahagian pemilik beralih kepada kereta lebih kecil atau kenderaan elektrik.

“Namun, jumlah yang berbuat demikian tidak besar, dianggarkan sekitar 55 peratus sahaja kerana 300 liter sebulan sebenarnya sudah mencukupi bagi kebanyakan pengguna yang sudah membayar habis kenderaan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, meskipun sebahagian kecil pemilik dijangka menjual kenderaan mereka, langkah itu tetap berpotensi mencetuskan lambakan kenderaan terpakai 1,500cc ke atas di pasaran.

“Perlu difahami juga, kelayakan menerima subsidi bukan ditentukan berdasarkan jenis kenderaan tetapi status individu sebagai warganegara.

“Justeru, sebahagian besar pemilik masih akan mengekalkan kereta mereka kerana subsidi yang diberikan sudah memadai untuk kegunaan harian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN