Warga China pandu lawan arus meninggal dunia selepas jalani hukuman penjara

Warga China pandu lawan arus meninggal dunia selepas jalani hukuman penjara

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lelaki warga China yang merupakan pesalah jalan raya meninggal dunia sebaik selesai menjalani hukuman penjara sehari yang dikenakan terhadapnya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, Lu Xun, 55, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang ini sewaktu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

“Sebaik dibebaskan selepas menjalani hukuman dari lokap polis di Mahkamah Sungai Petani dan menjelaskan denda dikenakan, dia dibawa keluarganya mendapatkan rawatan di hospital itu.

“Polis menerima makluman berkaitan kematiannya daripada pengurusan hospital itu dan sedang menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara sehari oleh Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu kereta melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan di Jalan Lencongan Barat, Ahad lalu.

Sepanjang prosiding di mahkamah pada sebelah pagi, dia dilihat mengalami kesukaran untuk berjalan, tidak stabil emosi dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dari lokap ke kamar mahkamah.  

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh dalam kes itu, Chong Seng Ming semasa dihubungi berkata, dia menerima berita kematian daripada anak perempuan kepada anak guamnya.

“Anak perempuan mangsa turut memaklumkan dia sedang menguruskan dokumen kematian bapanya dengan pihak hospital dan kedutaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN