PETALING JAYA: Seramai 3,716 individu mendaftar sebagai ahli baharu UMNO dalam tempoh kurang 24 jam selepas sistem pendaftaran dalam talian parti dilancarkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah pendaftaran yang diterima dalam tempoh singkat itu amat memberangsangkan terutama apabila majoritinya terdiri daripada golongan muda.
“Balik dari masjid pagi ini, check (periksa) sistem dashboard (papan pemuka) keahlian UMNO, terus saya ambil masa untuk perhalusi dan luluskan setiap permohonan.
“Letih juga tapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tak sampai 24 jam sistem baru pendaftaran online (dalam talian) dimuat naik, sudah 3,716 ahli baharu yang majoritinya di kalangan anak muda mendaftar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut data dikongsikan, kategori Pemuda mencatat jumlah paling tinggi iaitu 2,413 orang atau 65 peratus.
Kategori ahli biasa mencatatkan 818 orang atau 22 peratus diikuti Wanita 248 orang (tujuh peratus) dan Puteri, 237 orang (enam peratus).
Asyraf Wajdi turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang memilih menyertai UMNO dan menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif terhadap sokongan masyarakat khususnya golongan muda.
“Terima kasih semua kerana sudi bersama dalam perjuangan suci ini,” katanya. – UTUSAN










