UKM tembus 100 terbaik Asia, TEKAD 57 jadi taruhan

UKM tembus 100 terbaik Asia, TEKAD 57 jadi taruhan

UKM kini dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia menerusi penarafan berprestij tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia kini menjadi ukuran baharu kepada keupayaan universiti itu menterjemah pencapaian ranking kepada impak lebih jelas kepada negara, industri dan masyarakat.

UKM menduduki tempat ke-87 dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026, sekali gus mencatat kedudukan terbaik universiti itu sejak 2016.

Pencapaian yang diumumkan pada 23 April lalu itu meletakkan UKM dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia menerusi penarafan berprestij tersebut.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pencapaian itu membuktikan universiti berkenaan berada pada landasan kukuh dalam usaha memperkasa kecemerlangan global.

“Kedudukan itu mencerminkan komitmen seluruh warga UKM dalam memastikan universiti terus relevan, berdaya saing serta memberi impak bermakna kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Menurutnya, UKM akan terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan, meningkatkan kualiti penyelidikan dan memperluas kerjasama strategik dengan industri serta institusi antarabangsa.

Penarafan THE Asia University Rankings 2026 menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 18 indikator utama merangkumi pengajaran, penyelidikan, impak penyelidikan, kerjasama industri dan pengantarabangsaan.

Justeru, pencapaian itu bukan sekadar ukuran reputasi akademik, tetapi turut menjadi penanda aras terhadap peranan UKM sebagai universiti penyelidikan negara.

Sufian berkata, pencapaian berkenaan selari dengan pelaksanaan TEKAD 57, iaitu kerangka strategik baharu UKM bagi menggerakkan hala tuju universiti itu dari 2026 hingga 2030.

“TEKAD 57 akan menjadi pemacu penting dalam memperkukuh keupayaan UKM sebagai universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga signifikan peranannya dalam pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat.

“Kerangka itu dijangka menjadi taruhan utama UKM untuk mengekalkan momentum peningkatan, memperhebat penyelidikan berimpak tinggi dan memastikan jaringan strategik universiti memberi pulangan lebih besar kepada masyarakat.,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN