PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tiada sebarang kompromi atau keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, sebarang ketidakpatuhan, khususnya melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta.
Katanya, pihak syarikat yang terlibat telah diarahkan menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia, menarik balik semua produk terkesan daripada pasaran.
“Selain itu, melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan menyeluruh termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya bidang kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri dalam pengurusan pensijilan halal serta pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang SPHM di peringkat negeri.
“Sehubungan itu, Jakim akan terus menggembleng kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa terlibat bagi memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
“Tindakan bersepadu akan memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara, kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal terjamin serta sebarang ketidakpatuhan ditangani dengan tegas dan segera,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas penemuan berus dengan ciri bulu babi di kilang kopi dan kilang biskut di negeri itu. – UTUSAN










