Malaysia Komited Memakmur Penghayatan Al-Quran - Utusan Malaysia

Malaysia Komited Memakmur Penghayatan Al-Quran

Qari Malaysia muncul Johan di Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1447/2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Firman Allah Subhanahu Wataala yang terakam dalam Surah Al-Kahfi ayat 109 bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) “Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, nescaya habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami tambahkan lagi lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan”.

Setulusnya, kitab Al-Quran adalah kitab hidayah, memberikan bimbingan serta pedoman untuk menjulang karamah insaniah.

Terkandung di dalamnya, 30 juzuk dengan kapasiti 114 surah, 60 hizib dengan hitungan 6,236 ayat. Ia bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah an-Nas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Benar, kitab Al-Quran, makin ia dibaca, makin bertambah cinta. Makin diwacana, makin banyak ilmu yang ditimba.

Hadirnya Al-Quran, membawa suluhan cahaya terang benderang, merungkai segala kekusutan. Al-Quran itu bak berlian. Setiap sisinya bercahaya bergemerlapan dan berkerlipan sepanjang zaman.

Hanya insan yang mempunyai hati yang tulus, bersih dan ikhlas mencari kebenaran akan menghargai Al-Quran. Orang beriman itu saat membaca dan mendengar firman, hatinya akan bergetar dan menambah iman.

Inilah jati diri akhlak seorang hamba yang mencari reda Tuhan.

Surah AlAnfaal, ayat 2 memperingatkan bermaksud: Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) apabila disebut nama Allah (dan segala sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.

Marilah bersama-sama kira mengungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan restu-Nya, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1448 Hijri bersamaan 2026 Masihi, sekali lagi dapat dilaksanakan pada 6 hingga 10 Oktober 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Jika ditelusuri sejarah, Majlis Tilawah Al-Quran telah mula diadakan buat kali pertama secara teratur di peringkat Kebangsaan pada 20 Ramadhan 1379 bersamaan 18 Mac 1960 manakala peringkat Antarabangsa pula pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961.

Ungkapan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, diangkat sebagai tema acara yang menyerlahkan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut fizikal dan ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi nilai, akhlak dan kerohanian.

Ia juga telah menterjemah komitmen Kerajaan Madani pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia untuk mengangkat martabat umat agar kembali mengungguli khazanah ilmu-ilmu Al-Quran.Untuk temasya kali ini,

JAKIM telah menetapkan hanya 50 peserta terbaik dari 38 buah negara hadir ke Malaysia secara fizikal, iaitu masing-masing seramai 25 orang peserta bagi Kategori Tilawah Al-Quran dan Kategori Hafazan al-Quran.

Di samping itu, pemilihan maqra’ juga diberikan perhatian supaya ayat-ayat yang diperdengarkan dapat mengangkat mesej yang dekat dengan realiti dan keutamaan ummah, termasuk perpaduan, ta’ayush, ihsan, integriti, kemakmuran dan pembangunan insan.

Dengan pendekatan ini, kita mahu acara perdana ini menjadi platform yang bukan sahaja memperdengarkan keindahan bacaan alQuran, tetapi juga menyampaikan mesej dan pedoman al-Quran yang relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Bulan Oktober sebagai Bulan al-Quran

Bulan Oktober diangkat sebagai Bulan al-Quran bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa bagi memperkukuh budaya membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Ia merangkumi penglibatan semua agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri bagi menggerakkan ekosistem pembangunan al-Quran secara menyeluruh melalui pelbagai program seperti kempen membaca al-Quran, tadabbur, kelas tajwid, forum, seminar, khatam al-Quran serta pertandingan tilawah dan hafazan.

Temasya peringkat antarabangsa ini menjadi acara kemuncak Bulan al-Quran, sekali gus menyatukan pelbagai inisiatif pembudayaan al-Quran di bawah satu platform nasional yang berimpak tinggi serta memperkukuh penghayatan dan pengamalan nilai-nilai al-Quran dalam masyarakat.

Selain itu, serentak dalam tempoh ini, turut berlangsung Pameran Seni Khat Sedunia sebagai salah satu pengisian sampingan sempena majlis tilawah bagi mengetengahkan keindahan seni khat al-Quran sebagai warisan peradaban Islam.

Pameran ini menghimpunkan karya seni khat terpilih daripada penggiat tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjadi medium dakwah, pendidikan serta penghayatan estetika al-Quran kepada masyarakat dan pengunjung antarabangsa.

Majlis Tilawah dan Hafazan kali ini turut mengetengahkan naratif “Nur Darul Quran” bagi meletakkan Darul Quran JAKIM bukan sahaja sebagai institusi tahfiz tradisional, tetapi sebagai pusat kecemerlangan global yang melahirkan generasi huffaz profesional yang mahir dalam pelbagai disiplin seperti perubatan, kejuruteraan, dan sains data bagi mendepani cabaran industri masa hadapan.Al-Quran menyeru kasih sayang.

Oleh yang demikian, marilah bersama seluruh umat Islam berusaha mengaplikasikan intipati Al-Quran yang menyeru kepada perpaduan. Ia tidak sekadar slogan atau retorik yang sentiasa diulang-ulang.

Sebaliknya ia mesti dibukti serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

Setiap individu perlu membawa watak penyatu yang menghamparkan permaidani kasih sayang. Usahlah kita membawa karektor pemecah-belah yang menabur nista dan memarak api amarah.

Sebagai masyarakat yang kasih kepada watan, sudah pasti, kita tidak akan tergamak untuk melihat masyarakat saling berantakan dan bermusuhan.

Inilah tugas kita semua untuk menyebar nilai-nilai mahmudah yang terkandung di dalam risalah AlQuran.

Al-Quran mengajar insan supaya berjiwa santun dan rahmah. Bersesuaian dengan citra agama Islam sebagai agama kedamaian. Al-Quran juga mentarbiyah insan agar saling memuliakan. Sentiasa menjaga akhlak dan budi, ketika berinteraksi.

Apatah lagi dalam realiti kemajmukan negara Malaysia, semua pihak perlu menguruskan perbezaan bersulamkan benang kedamaian. Memakmurkan nilai hormat menghormati, bertoleransi dan penuh kemesraan. Ini adalah nilai yang akan menyuburkan keharmonian dalam bernegara.

——————————

Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN