PARLIMEN: Tiada cadangan naik taraf Darul Quran sebagai universiti

PARLIMEN: Tiada cadangan naik taraf Darul Quran sebagai universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menaik taraf Darul Quran Kuala Kubu Bharu sebagai sebuah universiti awam, sebaliknya mengekalkannya di bawah kawal selia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan institusi tahfiz kebangsaan itu terus berfokus dan berautoriti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, sebarang usaha menaik taraf Darul Quran sebagai universiti perlu tertakluk kepada kerangka undang-undang serta keputusan dasar kerajaan sedia ada.

Katanya, pendirian itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi pengajian al-Quran negara sebagai teras pembangunan modal insan huffaz yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.

“Selaras dengan peruntukan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 [Akta 2] serta keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Mei 2009, sekiranya Darul Quran dinaik taraf sebagai sebuah universiti, ia hendaklah diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Dalam konteks pendidikan tinggi negara, penubuhan universiti awam baharu perlu selari dengan hala tuju strategik yang ditetapkan oleh KPT.

Buat masa ini, dasar semasa menetapkan bilangan universiti awam telah dioptimumkan dan kementerian lain tidak menubuhkan universiti sendiri,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada kerajaan berhasrat menaik taraf Darul Quran Kuala Kubu Bharu menjadi universiti yang menawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran.

Mengulas lanjut, Marhamah berkata, pendekatan mengekalkan Darul Quran di bawah Jakim membolehkan institusi berkenaan terus unggul sebagai institusi tahfiz kebangsaan yang khusus, berfokus dan berautoriti bagi memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan ummah.

Bagi memperkukuh kemampanan Darul Quran, beliau berkata, kerajaan melalui Jakim turut melaksanakan inisiatif kolaborasi strategik bersama universiti awam dan institusi pengajian tinggi Islam yang diiktiraf

Katanya, pendekatan kolaboratif itu membolehkan lepasan Darul Quran melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan pascasiswazah tanpa menjejaskan identiti teras institusi berkenaan sebagai pusat tahfiz.

“Kerajaan berpandangan pendekatan kolaboratif ini lebih pragmatik, berfasa dan berimpak selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan Islam negara serta memastikan kualiti pelajar terus terpelihara.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pensijilan Tahfiz al-Quran Jakim–Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diperkenalkan sejak tahun 2000.

“Melalui laluan pensijilan itu, lepasan tahfiz Darul Quran berpeluang melanjutkan pengajian bukan sahaja dalam bidang al-Quran dan pengajian Islam, malah dalam pelbagai bidang profesional dan multidisiplin tertakluk kepada syarat kemasukan universiti,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN