Maal Hijrah: Madani Dihayati, Ummah Diberkati

Maal Hijrah: Madani Dihayati, Ummah Diberkati

Sambutan Ma’al Hijrah menjadi wadah untuk seluruh umat Islam bermuhasabah, menginsafi serta menghayati nilai-nilai luhur yang terkandung dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Ma’al Hijrah yang diraikan saban tahun bukan sekadar mengingati sebuah peristiwa bersejarah, bahkan menjadi wadah untuk seluruh umat Islam bermuhasabah, menginsafi serta menghayati nilai-nilai luhur yang terkandung dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW bersama golongan Muhajirin dan Ansar.

Tempoh dakwah Rasulullah SAW di Mekah selama 13 tahun merupakan fasa yang penuh dengan pengorbanan dan ujian keimanan. Baginda SAW bersama para sahabat berhadapan dengan pelbagai bentuk tentangan yang menguji ketabahan serta istiqamah dalam menyampaikan risalah Islam. Secara umumnya, perjalanan dakwah Baginda SAW di Mekah dapat dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu:
i. Dakwah secara rahsia dan sulit.
ii. Dakwah secara terbuka kepada penduduk Mekah.
iii. Dakwah ke luar Mekah sehingga akhirnya membawa kepada peristiwa Hijrah ke Madinah.

Pada peringkat awal, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah secara sulit selama kira-kira tiga tahun. Pendekatan ini diambil sebagai strategi dakwah yang berhikmah agar masyarakat Mekah dapat menerima risalah Islam secara berperingkat tanpa menimbulkan penentangan yang lebih besar pada peringkat permulaan. Sehinggalah selepas itu, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW supaya menyampaikan dakwah secara terang-terangan sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Syu’ara’, ayat 214 yang bermaksud:

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat.”

Dengan penuh keyakinan, Rasulullah SAW kemudiannya menghimpunkan kaum Quraisy di Bukit Safa dan mengisytiharkan risalah Islam secara terbuka. Baginda bertanya kepada mereka:
“Sekiranya aku khabarkan bahawa di sebalik bukit ini terdapat pasukan musuh yang akan menyerang kamu, adakah kamu akan mempercayaiku?”

Mereka menjawab bahawa Baginda sentiasa dikenali sebagai seorang yang benar dan tidak pernah berdusta. Lalu Rasulullah SAW mengingatkan mereka tentang azab Allah bagi sesiapa yang mengingkari-Nya.

Namun, seruan tersebut ditolak mentah-mentah oleh Abu Lahab sehingga Allah SWT menurunkan Surah al-Masad sebagai peringatan terhadap sikapnya.

Sejak peristiwa itu, penentangan terhadap dakwah Islam semakin memuncak. Rasulullah SAW dan para sahabat berhadapan dengan pelbagai bentuk tekanan, ejekan, fitnah, pemulauan ekonomi, penyeksaan fizikal serta ancaman bunuh. Namun, segala ujian tersebut tidak pernah mematahkan semangat Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat, bahkan menjadi asas kepada pembentukan sebuah umat yang teguh keimanan, sabar menghadapi ujian dan bersedia membawa cahaya Islam ke seluruh pelosok dunia.

Setelah mendapat keizinan Allah SWT untuk berhijrah, Madinah al-Munawwarah muncul sebagai model negara Islam yang menterjemahkan nilai rahmah kepada seluruh manusia. Hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat bukanlah tanda kekalahan, sebaliknya satu langkah strategik untuk membina kekuatan baharu dan mengembangkan risalah Islam ke seluruh pelosok dunia.

Hijrah ke Madinah disusun dengan penuh hikmah. Sebaik tiba, Rasulullah SAW mengambil tiga langkah strategik yang menjadi asas pembinaan tamadun Islam, iaitu
i. pembinaan masjid;
ii. mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar ;serta
iii. menggubal Piagam Madinah sebagai asas pentadbiran negara.

Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi bukan sekadar tempat ibadah, bahkan menjadi pusat dakwah, pendidikan, pentadbiran dan pembangunan masyarakat. Institusi masjid menjadi teras pembentukan umat yang berilmu, berakhlak dan bertakwa.

Baginda SAW juga mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta mendamaikan kabilah Aus dan Khazraj yang sekian lama bermusuhan. Penyatuan ini membuktikan bahawa Islam membina kekuatan umat melalui persaudaraan dan kesatuan akidah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103 mafhumnya: “Dan berpegang teguhlah kepada kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu); lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehinga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara……”

Madani Dihayati, Ummah Diberkati

Namun hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran isu sosial dan kemasyarakatan. Ia bertambah kompleks dengan landskap dunia teknologi tanpa sempadan hari ini. Oleh itu, kerjasama padu antara golongan ulama’ dan umara’ amat penting untuk terus membimbing ummah agar menjadi ‘ummatan wasata’ atau umat pertengahan sebagaimana firman Allah SWT pada ayat 143, Surah Al-Baqarah bermaksud:
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…

Golongan agamawan perlu menjadi suara yang menenangkan, bukan yang mengelirukan. Menjadi jambatan, bukan membina jurang dalam masyarakat. Para agamawan dan golongan asatizah perlu menjadi peneguh perpaduan bukan mencarikkan tautan kasih sayang yang telah sekian lama terbina. Cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri, meniup sentimen kebencian atas nama agama, berperang di media sosial,sehingga memecahbelahkan keluarga dan masyarakat. Ia langsung tidak membawa apa-apa manfaat kepada agama, negara dan ummah. Apabila masyarakat bersatu hati dan berpadu, ia akan menjemput keberkatan daripada Allah SWT.

Alhamdulillah, Malaysia baru selesai menjadi Tuan Rumah Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa kali ketiga dan Multaqa Ulama’ Asia Tenggara kali keempat. Kedua-dua acara besar ini telah menyerlahkan peranan negara menyeru kesatuan dunia berteraskan nilai-nilai keadilan, ihsan serta saling hormat menghormati. Ini adalah sebahagian agenda besar membentuk ummah madani yang digerakkan oleh Kerajaan melalui agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah payung YB Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ummah Madani menjunjung nilai-nilai masyarakat bertamadun, berakhlak mulia, maju dan seimbang dari aspek rohani dan intelektual.Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mujadalah, potongan ayat 11 yang bermaksud: “…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”

Agama Islam sentiasa meletakkan ilmu pada kedudukan yang tinggi. Tamadun Islam pernah berada di puncak keilmuan dan kesarjanaan. Sekadar mengangkat beberapa nama tokoh ilmuan seperti Al-Shatibi, Ibn Tufayl, Ibn Rushd, Ibn Firnas, dan Ibn Khaldun, sumbangan mereka begitu gemilang kepada kelestarian tradisi keilmuan usul-fiqh, falsafah, perubatan, sains kimia, kaji hayat dan seumpamanya.

JAKIM bersama-sama agensi-agensi hal ehwal agama dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus turun ke lapangan menyantuni serta memperteguh parpaduan masyarakat. Institusi masjid dan surau akan terus diupayakan sebagai madrasah yang memberikan kefahaman ilmu serta mengasuh adab dan nilai selain pusat perpaduan umat Islam. Semoga umat Islam akan terus menjadi contoh terbaik dalam segala bidang jua mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Dalam pada masa sama, sistem asas pendidikan Islam Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) bagi murid-murid sekolah akan terus diperkasa demi kelangsungan generasi ummah madani.

Kesimpulannya, peristiwa agung hijrah ini bukan sahaja terpahat kukuh dalam lipatan sejarah Islam, malah terus menjadi sumber inspirasi yang membimbing umat ke arah pembentukan masyarakat yang beriman, berdaya tahan dan berperadaban tinggi. Sirah Nabi SAW bukan sekadar catatan masa lalu atau artifak sejarah untuk dikenang, tetapi merupakan panduan hidup yang sentiasa relevan, menjadi pencetus perubahan ummah madani serta pemangkin kepada kemajuan dan pembinaan tamadun yang sejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN