KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) menetapkan hala tuju yang jelas iaitu menjadi sebuah angkatan yang bukan sahaja bersifat konvensional, malah bersedia untuk masa depan bagi menghadapi sebarang cabaran keselamatan.
Pada usia 93 tahun penubuhannya, TDM melihat hala tuju tersebut suatu yang rasional memandangkan cabaran keselamatan masa kini semakin kompleks melibatkan ancaman hibrid, peperangan pelbagai domain serta ketidaktentuan geopolitik serantau.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman berkata, slogan ‘Kemahuan Untuk Menang’ pada Tema Hari Tentera Darat Ke-93 diterjemahkan kepada pembinaan keupayaan lebih tangkap, berwibawa dan bersedia untuk menghadapi ancaman masa kini.
“Tentera Darat bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia kini sedang melalui fasa transformasi holistik untuk memenuhi keperluan ‘Angkatan Masa Hadapan Domain Daratan (AMH-D2)’.
“Evolusi ini menuntut Tentera Darat untuk membangunkan keupayaan bagi memiliki postur angkatan yang kredibel, tangkas dan tuntas serta struktur angkatan yang bersifat modular, lethal and deployable (modular, berdaya tempur tinggi dan boleh diatur gerak).
Dalam konteks itu, Tentera Darat menjadi organisasi yang ‘lean and mean’ serta ‘fit for purpose’ untuk mencapai operation coherence dalam melaksanakan Operasi Pelbagai Domain (OPD),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Panglima Tentera Darat sempena Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-93, hari ini.
Azhan berkata, secara khusus, struktur dan postur Tentera Darat sedang distruktur bagi memenuhi ciri-ciri Angkatan Masa Hadapan seperti mana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0).
Katanya lagi, mengenai aspek keselamatan dan kedaulatan negara, Tentera Darat terus komited untuk memperkukuhkan keselamatan sempadan negara dengan kehadiran trup-trup di sepanjang perbatasan antarabangsa negara.
Pada masa sama, katanya, dalam memastikan aspek kebajikan dan keselesaan anggota-anggota beroperasi, keseluruhan pos-pos sempadan telah dan sedang dinaik taraf.
“Pengoperasian ini juga dilengkapi dengan aset-aset terkini seperti dron, motosikal scrambler, ATV dan alatan optronik.
“Di peringkat antarabangsa pula, Tentera Darat akan terus memacu usaha memperkasakan kerjasama serantau dan global.
“Penglibatan berterusan dalam pelbagai latihan bilateral dan multilateral adalah amat penting bagi meningkatkan kebolehoperasian (interoperability), perkongsian amalan terbaik serta mengekalkan hubungan diplomasi ketenteraan,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa Tentera Darat turut menyokong kestabilan dan keamanan sejagat melalui penyertaan dalam misi pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – UTUSAN










