PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggerakkan Notis Merah (Red Notice) melalui INTERPOL bagi mengesan dua anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin kerana gagal hadir memberi keterangan kepada agensi berkenaan hari ini.
SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyekat serta memantau pergerakan keluar masuk dan status pasport dua individu terbabit.
Menurutnya, pihaknya memandang serius kegagalan dua anak Tun Daim iaitu Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM sebagaimana diperintahkan melalui tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan bertarikh 13 Februari 2026, 11 Mac 2026 dan 6 April 2026.
“Sebelum ini, wakil peguam yang mewakili mereka telah menyatakan komitmen dan persetujuan untuk hadir pada 6 April 2026 (hari ini).
“Namun demikian, mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah,” katanya.
Katanya, turut gagal hadir tanpa alasan yang memuaskan ialah Josephine Premla, walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh pihak SPRM.
Bagaimanapun, katanya, anak perempuan Tun Daim iaitu Asnida Daim telah hadir dan memberikan kerjasama kepada SPRM, manakala Md Wira Dani pula telah memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya.
Jelasnya lagi, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin juga akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana ingkar mematuhi Perintah Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.
Sementara itu, Asnida Abdul Daim pula dituduh di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 April 2026.
SPRM menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi ini tidak akan dilayan dengan toleransi dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian. – UTUSAN










