Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu menyahut seruan Program Inisiatif Membaca 2026 melalui penganjuran aktiviti Jom Baca Bersama 10 Minit yang berlangsung di sekolah itu baru-baru selaras dengan tematahun ini iaitu “Membaca Menggembirakan, Membaca Membina Bangsa”.
Program berkenaan bertujuan menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat melalui amalan membaca sekurang-kurangnya 10 minit sehari.
Matlamat itu juga selaras dengan usaha memupuk budaya ilmu demi pembinaan bangsa yang berfikiran kritis, kreatif dan progresif.
Guru Besar sekolah berkenaan, Noor Azniah @ Noni Mat Nor, berkata, inisiatif itu penting bagi membentuk generasi yang mencintai ilmu sejak di bangku sekolah.
“Program ini mampu menjadikan aktiviti membaca sebagai gaya hidup yang menyeronokkan serta memperkukuh budaya literasi sebagai asas pembinaan masyarakat berpengetahuan,”
katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Antara pengisian utama ialah Jom Baca 10 Minit Serentak yang berlangsung pada pukul 11 pagi, melibatkan semua murid dan guru yang membaca bahan pilihan masing-masing di
dalam kelas selama 10 minit.
Aktiviti itu turut menyokong usaha mengukuhkan peranan perpustakaan, sekolah dan rumah sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut Noor Azniah, slogan “Membaca Menggembirakan, Membaca Membina Bangsa” dipilih bagi menekankan bahawa membaca bukan sekadar tugasan rutin, tetapi merupakan
sumber kegembiraan, rangsangan minda dan kekuatan dalam membentuk masyarakat yang maju serta berilmu.
Program berkenaan mendapat sambutan positif daripada warga sekolah dan dijangka diteruskan dari semasa ke semasa. –UTUSAN









