KUALA LUMPUR: Kumpulan Sapura (Sapura) menampilkan teknologi baharu termasuk yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, Velum Labs mempersempahkan program terbaharu iaitu V-Attack dengan suntikan nilai integrasi AI berdaulat dalam operasi siber aktif secara pertahanan siber.
Katanya, Sapura Secured Technologies turut mempamerkan Government Integrated Radio Network (GIRN2.0) terbaharu iaitu sebuah sistem berasaskan 5G dan dipacu Al yang direka untuk memenuhi keperluan Malaysia terhadap komunikasi berpusatkan rangkaian serta data yang selamat dan berdaulat.
“GIRN 2.0 membolehkan kerajaan mengurus bencana nasional dan operasi Perlindungan Awam dan Pengurusan Bencana (PPDR) secara berkesan melalui penyatuan semua agensi tindak balas dalam satu sistem selamat yang menyediakan kesedaran sıtuasi masa nyata dari lapangan hingga ke pusat arahan di peringkat Persekutuan.
“Ia sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan antara agensi diperkukuh dan perlindungan nyawa rakyat dipertingkatkan ketika krisis,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Shahril berkata, Sapura komited menyokong usaha untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat melalui pembangunan teknologi demi melindungi kepentingan nasional.
Katanya, Sapura akan terus melabur dalam pembangunan teknologi tempatan yang mampu memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani ancaman keselamatan siber yang kompleks termasuk ancaman digital dan perang siber.
“Ancaman digital yang kita harungi hari ini berkembang hampir setiap minggu. Melalui Velum Labs, Sapura memiliki keupayaan untuk mengenal pasti, menjejak dan memetakan ancaman ini ke dalam teknologi dan penyelesaian kami.
“Sapura mengiktiraf sejak awal bahawa teknologi AI dapat mengubah secara tuntas landskap operasi siber, justeru, kami telah melabur dalam pembangunan keupayaan ini seiring dengan ekosistem pertahanan dan komunikasi strategik kami yang lebih luas.” katanya.
Tambahnya, penyertaan Sapura dalam DSA 2026 mencerminkan komitmen berterusan kumpulan itu untuk membangunkan teknologi strategik tempatan yang memenuhi keperluan keselamatan Malaysia serta memperkukuh kedudukan negara.
“Terutama selaku pemain serantau teknologi pertahanan, keselamatan siber dan komunikasi kritikal berdaulat,” katanya. – UTUSAN









