‘Rumah baharu’ tidak semestinya parti baharu, Hamzah mahu kekal dalam PN

 ‘Rumah baharu’ tidak semestinya parti baharu, Hamzah mahu kekal dalam PN

HAMZAH Zainudin menyampaikan Pidato Perdana Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: ‘Rumah baharu’ yang bakal disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak semestinya menubuhkan parti baharu, sebaliknya kemungkinan berada dalam parti sedia ada.

Malah Ahli Parlimen Larut itu menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dalam perjuangan politiknya pada masa ini.

Beliau berkata, sebarang pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat tanpa menetapkan tempoh khusus.

“Tak lama lagi kita akan umumkan, dalam masa terdekat, secepat mungkin,” katanya selepas program Pidato Perdana sempenan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, malam tadi.

Menurut Hamzah, keputusan berhubung hala tuju politik termasuk kemungkinan penyertaan dalam parti baharu ditentukan secara bersama oleh ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Beliau berkata, istilah ‘rumah baharu’ yang digunakan tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti politik baharu, sebaliknya boleh melibatkan penyertaan dalam parti sedia ada.

“Rumah baharu bagi saya, mungkin rumah itu sudah ada, bukan semestinya bina yang baharu,” katanya.

Ditanya sama ada ‘rumah baharu’ itu merujuk kepada Pas, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Insya-Allah, apa salahnya,” ujarnya.

Kata beliau, perjuangan politik perlu diteruskan berlandaskan kepentingan rakyat khususnya orang Melayu dan tidak hanya tertumpu kepada survival politik semata-mata.

Katanya, kepemimpinan masa depan perlu berupaya menjamin keadilan kepada semua kaum selain berpegang kepada prinsip agama dan nilai kenegaraan.

“Perjuangan itu mesti diteruskan, kita mahu pemimpin yang mampu membawa masa depan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, beliau menolak dakwaan bahawa langkah tersebut tidak wajar, sebaliknya menegaskan sokongan majoriti ahli Parlimen menjadi kekuatan utama kepadanya.

Menurutnya, seramai 19 daripada 25 Ahli Parlimen menyatakan sokongan di samping mendapat dukungan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Tegasnya, beliau terus kekal bersama PN dan komited memperkukuh kedudukan gabungan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN