KUALA KANGSAR: Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel berjumlah RM72 bilion setahun susulan peningkatan harga bahan api ekoran perang Iran dan Amerika Syarikat (AS)-Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos itu adalah untuk menjayakan program subsidi diesel dan petrol RON95 (BUDI95) serta pemberian subsidi diesel kepada para petani, nelayan dan pengangkutan awam.
Katanya, dunia termasuk Malaysia kini dilanda kegawatan bahan api susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran sehingga mengganggu Selat Hormuz yang menjadi laluan utama eksport komoditi minyak.
“Berapa jumlah subsidi satu bulan? Satu bulan RM6 bilion. Bayangkan kalau 10 bulan, RM60 bilion.
“Hendak cukai orang susah, orang marah. Jadi inilah masa untuk kita bincang cara baik. Parti kerajaan, parti pembangkang, jangan bebal tidak tentu arah. Hendak jadi pemimpin masyarakat, hendak utarakan komen harus berdasarkan ilmu,” katanya.
Beliau membidas pihak yang cuba menafikan usaha keras kerajaan dalam mengatasi kesan langsung ekonomi berhubung peningkatan harga minyak ketika berucap melawat sekolah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan SMK Clifford, di sini semalam.
Anwar berkata, Malaysia masih mampu mengekalkan harga petrol serendah RM1.99 seliter sedangkan paras harga di tempat lain termasuk negara jiran naik melambung.
“Di Singapura RM10, itu ada minyak. Ada negara sudah melaksanakan catuan. Di sebuah negara ASEAN, 400 stesen minyak ditutup. Renungkan perkara ini, kerana kita tidak terkecuali daripada permasalahan ini.
“Sebab itu saya bagi arahan termasuk batalkan semua lawatan menteri-menteri ke luar negara kerana kos pengangkutan sudah tinggi,” katanya.
Anwar turut menyelar sikap hipokrit sesetengah kuasa Barat yang sering bertindak sebagai ‘guru’ hak asasi manusia kepada negara lain, namun pada masa sama mendiamkan diri terhadap siri kezaliman yang berlaku di hadapan dunia.
“Dunia ini tidak kekurangan orang yang pintar, yang membuat segala teknologi, pesawat, senjata paling canggih. Tetapi peperangan mereka bobrok (binasa), boleh membunuh, zalim, menjajah negara orang tanpa conscience (rasa bersalah).
“Paling akhir, Iran. Bayangkan senang-senang Israel mengambil keputusan. Amerika Syarikat bantu dan dunia hampir senyap kerana pengaruh Barat yang kuat.
“Saya beritahu kawan, anak-anak, Alhamdulillah, Malaysia antara satu-satunya negara yang masih pertahankan semangat kebebasan dan berani menyatakan bahawa serangan itu ganas, biadab dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Madani Taman Perpaduan Koperasi Tambun bersama Perdana Menteri di Padang Taman Perpaduan Koperasi 2, Tambun, semalam.
Anwar berkata, kerajaan akan terus mengutamakan pelaksanaan projek-projek yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, walaupun negara sedang berdepan tekanan susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Namun dalam keadaan tersebut, beberapa projek berskala besar terpaksa ditangguhkan bagi memberi fokus kepada keperluan asas yang lebih mendesak.
“Sebab itu saya kata, projek besar-besar jangan mintalah, namun projek rakyat seperti tandas sekolah rosak, baik pulih sekolah, bumbung masjid dan rumah Orang Asli bocor, itu kita boleh pertimbangkan.
“Kita beri berdasarkan kemampuan, namun projek-projek besar terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar, semua pihak digesa mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan mengawal perbelanjaan tidak perlu.
“Saya fikir kalau ekonomi semakin baik, saya mahu ambil gaji. Semua orang dapat gaji, pasal apa saya tak dapat? Bila saya fikir mahu ambil, ekonomi pula tak elok.
“Tapi tidak mengapa, saya datang ke sini menaiki kapal terbang dan kereta kerajaan. Saya tidak susah seperti orang lain, cuma saya kena beritahu rakan-rakan untuk berjimat,” katanya. – UTUSAN










