Ratusan ahli Parlimen dunia desak hentikan perdagangan senjata dengan Israel

Ratusan ahli Parlimen dunia desak hentikan perdagangan senjata dengan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratusan ahli Parlimen dari seluruh dunia menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas termasuk menghentikan serta-merta perdagangan senjata dengan Israel bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Gesaan itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian Deklarasi Brussels dalam Kongres Inaugurasi Parlimen Global Sumud yang berlangsung di Brussels baru-baru ini.

Delegasi Malaysia yang turut menyertai kongres tersebut menegaskan keperluan perubahan pendekatan dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat global.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Sani Araby berkata, fasa perjuangan ketika ini menuntut strategi yang lebih tersusun, berani dan berimpak tinggi.

Katanya, agenda pembelaan Gaza dan Palestin, menuntut bukan sahaja keberanian namun jauh lebih mahal adalah master plan strategi yang taktikal dan nafas baharu.

“Pastinya strategi bukan semua perlu diceritakan, namun cukup penting untuk medan seperti di Brussels ini diupayakan dengan kejituan kesatuan merentasi ahli Parlimen blok Eropah serta dunia untuk ‘masuk tangan’ dan bersama lakukan tindakan,” katanya ketika ditemui di sela kongres tersebut.

Katanya usaha di laut seperti misi flotilla berisiko gagal sekiranya tidak disokong dengan tekanan politik yang tegas dan berterusan di daratan.

Justeru keberanian di laut perlu diselarikan dengan tindakan politik yang tidak berbelah bahagi bagi memastikan tekanan terhadap pihak yang terlibat dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Kongres berkenaan dilihat sebagai titik penting dalam menyatukan suara ahli Parlimen dunia untuk menekan komuniti antarabangsa agar mengambil langkah lebih berani dan berkesan dalam menangani konflik berpanjangan di Gaza.

Deklarasi berkenaan turut menuntut pemutusan hubungan ekonomi yang menyumbang kepada kelangsungan pendudukan selain mendesak pembukaan koridor kemanusiaan melalui laluan darat dan laut tanpa sebarang sekatan.

Ia turut menekankan keperluan mendesak bagi negara-negara Barat untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin secara penuh dan mengenakan sekatan diplomatik serta ekonomi secara menyeluruh sehingga krisis kemanusiaan itu dihentikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN