Israel upah militan gugat kestabilan Syria

Israel upah militan gugat kestabilan Syria

GAMBAR dari Galilee Hulu di utara Israel menunjukkan sebuah kereta kebal tentera rejim diletakkan di sepanjang sempadan Israel-Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Syria menuduh Israel membekalkan senjata dan wang kepada militan bersenjata di bandar Sweida, selatan negara itu, bagi mencetuskan kekacauan dan menggugat kestabilan di rantau berkenaan.

Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shaibani, berkata kumpulan militan itu beroperasi di luar kawalan kerajaan dan didakwa menerima sokongan Israel untuk melaksanakan ‘agenda huru-hara’.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), Sabrina Dallafior, di Damsyik kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut menuduh Israel berusaha menggugat kestabilan Syria sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, menerusi serangan terhadap infrastruktur dan pendudukan wilayah tambahan Syria.

Asaad berkata, tentera Israel mengusir rakyat Syria secara paksa dan melakukan penangkapan sewenang-wenangnya, selain menegaskan nasib puluhan tahanan masih belum diketahui.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan tindakan Israel yang boleh menjerumuskan rantau itu ke dalam kekacauan, termasuk menggesa pemisahan tentera 1974 dikembalikan bagi membolehkan pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakannya.

Asaad turut menggesa Israel menyertai rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) secara serius, yang menurutnya berlangsung sejak lebih setahun lalu.

Syria dan Israel mengadakan beberapa pusingan rundingan yang diusahakan AS bagi mengurangkan ketegangan, menghentikan operasi ketenteraan Israel dan mencapai perjanjian keselamatan.

Beliau menegaskan, Damsyik sentiasa komited untuk mencapai perjanjian yang menghormati keselamatan dan kedaulatan Syria. Israel menduduki sebahagian besar kawasan Bukit Golan di Syria sejak 1967.

Selepas kejatuhan Bashar, tentera Israel menduduki zon penampan tanpa tentera dan meluaskan kehadiran mereka secara haram di selatan Syria.

Perjanjian pemisahan tentera 1974 menetapkan zon penampan yang dipantau PBB antara tentera Syria dan Israel.- AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini