GEORGE TOWN : Polis berjaya membongkar kewujudan sebuah makmal haram yang dijadikan lokasi memproses dadah dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta dalam satu serbuan di sini, bermula petang semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu, dua lelaki tempatan serta seorang wanita warga asing yang berusia antara 33 hingga 48 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek pertama iaitu salah seorang daripada lelaki tersebut ditahan di satu kawasan letak kereta sebelum dia membawa polis ke sebuah kediaman yang dijadikan makmal untuk memproses dadah.
“Hasil pemeriksaan di premis itu kemudian menemukan pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja bernilai RM3.43 juta. Turut dirampas ialah peralatan lengkap yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya di sini, hari ini.
Azizee berkata, siasatan awal mendapati, sindiket itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober tahun lepas dan jumlah dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 50,000 penagih.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN










