Penyewa PPR DBKL hadapi tunggakan sewa boleh bayar secara ansuran

Penyewa PPR DBKL hadapi tunggakan sewa boleh bayar secara ansuran

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berdepan tunggakan diberi peluang menjelaskan bayaran secara ansuran.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, langkah itu dilaksanakan bagi membantu penyewa melunaskan bayaran tanpa menjejaskan kebajikan mereka.

“Kami akan mengeluarkan notis kepada penyewa terlibat dan pada masa sama mendekati mereka supaya dapat menjelaskan bayaran secara ansuran.

“Pendekatan ini lebih praktikal kerana ada antara penyewa berdepan kekangan kewangan untuk melunaskan tunggakan secara sekali gus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Memorandum Kerjasama CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Institut Latihan DBKL hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, jumlah tunggakan sewa melibatkan 51 buah PA dan PPR di Kuala Lumpur kini mencecah RM14 juta manakala tunggakan bil air pula berjumlah RM12 juta.

Tambah Fadhlun, walaupun nilai tunggakan agak besar, tindakan tegas seperti pengusiran bukanlah pilihan utama pada masa ini.

Katanya, jika DBKL mengambil pendekatan terlalu keras, penyewa mungkin kehilangan tempat tinggal dan itu tidak akan menyelesaikan masalah utama.

“Sebaliknya, kami ambil pendekatan berhemah dengan memastikan mereka ada komitmen untuk membayar walaupun secara ansuran.

“Soal keberkesanan kesan pelaksanaan skim tersebut hanya dapat dinilai dalam tempoh masa setahun akan datang.

“Buat masa ini kita masih di peringkat awal, namun kita akan terus memantau dan memastikan penyewa terlibat menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN