Lambakan alat tekanan darah palsu cetus kebimbangan

Lambakan alat tekanan darah palsu cetus kebimbangan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lambakan mesin pengukur tekanan darah yang tidak berdaftar atau disyaki tiruan di pasaran kini membimbangkan, susulan penjualannya yang berleluasa sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Amrahi Buang berkata, sebanyak 31 peratus daripada 10,081 peranti diperiksa didapati tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) berdasarkan saringan dalaman oleh sebuah rangkaian farmasi pada 2025.

Katanya, situasi itu menimbulkan risiko kepada keselamatan pengguna, khususnya pesakit yang bergantung kepada bacaan tepat bagi pemantauan kesihatan.

“Alat pengukur tekanan darah merupakan sejenis peranti perubatan dan pendaftaran serta kebolehkesanan peranti adalah penting bagi menjamin keselamatan awam.

“MPS bimbang bahawa penggunaan peranti yang tidak sah boleh menyebabkan bacaan tekanan darah yang tidak tepat, sekali gus meningkatkan risiko kepada pesakit.

“Terdapat juga laporan daripada amalan klinikal yang menunjukkan pesakit yang menggunakan mesin tekanan darah disyaki tiruan mengalami tekanan darah yang tidak terkawal. Ini menimbulkan kebimbangan bahawa bacaan yang tidak tepat di rumah boleh melambatkan rawatan atau susulan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, situasi tersebut menunjukkan keperluan kepada pengawasan peraturan yang lebih ketat, penguatkuasaan serta peningkatan kesedaran awam bagi memastikan ketepatan, kebolehpercayaan dan kebolehkesanan peranti.

“Orang ramai boleh menyemak status peranti perubatan berdaftar serta premis berlesen melalui Malaysia Medical Device Register,” katanya.

Amrahi berkata, antara langkah yang disokong MPS termasuk tindakan segera terhadap penjualan peranti tidak berdaftar dan disyaki tiruan di platform dalam talian serta saluran runcit terbuka.

“Selain itu, kawalan lebih ketat terhadap pengedaran peranti melalui saluran yang sah dan boleh dikesan perlu dipertimbangkan, termasuk memastikan panduan profesional serta kaunseling pesakit dapat diberikan.

“MPS menggesa MDA dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan bersepadu bagi menangani isu ini.

“Kerajaan perlu memastikan hanya peranti yang berdaftar dan boleh dipercayai berada di pasaran amat penting bagi melindungi pesakit serta mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem penjagaan kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN