Peniaga rugi jual kit RTK RM19.90 - Utusan Malaysia

Peniaga rugi jual kit RTK RM19.90

- GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) meminta kerajaan mengkaji semula penetapan harga siling bagi penjualan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri di pasaran kerana peniaga dan peruncit mengalami kerugian.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, ini kerana harga yang diterima daripada pembekal adalah lebih tinggi iaitu dengan anggaran RM22 sehingga RM35 setiap satu.

“Harga yang kami dapat daripada pembekal tinggi tetapi harga siling yang ditetapkan kerajaan adalah RM19.90.

“Apabila pelaksanaan ini dibuat kami secara tidak langsung perlu berjumpa dengan 15 pembekal utama untuk memohon rebat. Malangnya hanya lima yang bersetuju dan ini membebankan kami,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan tidak bercadang menunda tarikh penguatkuasaan harga baharu itu yang ditetapkan bermula hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu menyeimbangkan kepentingan antara pembekal, penjual dan rakyat ketika musim pandemik.

Katanya, sebarang penangguhan tarikh kuat kuasa penetapan harga siling kit saringan kendiri tidak dibuat semata-mata bagi memberi laluan kepada penjual dan pembekal menghabiskan stok lama kerana ia memberi implikasi kepada rakyat.

Tambah Amrahi, beliau dalam masa sama berharap agar kerajaan bersedia mengadakan perjumpaan dengan semua pembekal bagi memberi rebat kepada peruncit sekali gus dapat membantu penjualan kit berkenaan pada kadar harga siling.

Beliau juga berharap kerajaan memantau penjualan kit tersebut menerusi dalam talian bagi memastikan tahap ketulenan dan keselamatan para pengguna pada masa akan datang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN