Konvokesyen ke-10 Universiti DRB-HICOM rai 230 graduan unggul

Konvokesyen Ke-10 Universiti DRB-HICOM rai 230 graduan unggul

Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti, Tan Sri Syed Faisal Albar menyampaikan Anugerah Canselor kepada Nurdina Afiqah Muhammad Farif pada Majlis Konvokesyen Ke-210 Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM meraikan seramai 230 graduan pada Istiadat Konvokesyen Ke-10 yang berlangsung di Dewan Canseleri di Pekan, Pahang.

Jumlah itu merangkumi tiga graduan Doktor Falsafah (PhD), lapan Ijazah Sarjana, 52 Ijazah Sarjana Muda, 89 Diploma, 10 Asasi serta 68 penerima sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau kemahiran.

Majlis yang berlangsung dalam satu sesi hari ini menghimpunkan graduan daripada pelbagai program akademik yang ditawarkan universiti berkenaan.

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola yang juga Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar dan kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan syarikat terhadap pembangunan institusi itu.

Sebagai sebahagian daripada Kumpulan DRB-HICOM, universiti berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai perniagaan kumpulan itu, sekali gus membolehkannya menawarkan kursus berasaskan kerjasama akademik-industri serta kurikulum yang memenuhi keperluan pasaran.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, Rosihan Zain Baharudin dan Naib Canselor, Sharoul Jambari.

Sharoul turut mengucapkan tahniah kepada para graduan dan menggesa mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing.

“Pencapaian yang diraikan hari ini adalah bukti daya tahan, dedikasi dan ketekunan para graduan. Ketika melangkah ke alam profesional, kami berharap mereka dapat terus menyumbang kepada masyarakat dan industri,” katanya.

Konvokesyen itu turut mengiktiraf kecemerlangan akademik melalui penganugerahan beberapa anugerah termasuk Anugerah Canselor, Anugerah Pengerusi, Anugerah Naib Canselor kepada dua penerima, selain Hadiah Buku dan Anugerah Khas kepada lapan graduan.

Istiadat berkenaan juga menandakan pencapaian penting universiti, termasuk kejayaan kohort pertama bagi program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Mod Terbuka dan Pembelajaran Jarak Jauh) serta Sarjana Pengurusan.

Dalam aspek jaminan kualiti, sebanyak 10 program telah melengkapkan audit pematuhan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Selain itu, dua program memperoleh akreditasi penuh di bawah kitaran baharu oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), manakala satu program berjaya memperbaharui kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sejak penubuhannya, universiti itu terus memainkan peranan dalam melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri khususnya dalam sektor automotif, kejuruteraan, teknologi dan perniagaan.

Ketika ini, universiti berkenaan menawarkan 26 program akademik yang diakreditasi sepenuhnya, sekali gus menyokong usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan industri.

Dengan tambahan graduan pada konvokesyen kali ini, universiti itu telah melahirkan seramai 3,676 alumni yang kini berkhidmat dalam pelbagai industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Istiadat Konvokesyen Ke-10 ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha universiti melahirkan graduan kompeten dan bersedia untuk industri, khususnya dalam membentuk masa depan teknologi, mobiliti dan inovasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN