Derita mangsa letupan Putra Heights belum berpenghujung

Derita mangsa letupan Putra Heights belum berpenghujung

KERJA pembersihan tiga buah rumah yang rosak dijalankan bersama NGO dan ahli DRB-HICOM. - GAMBAR IHSAN DRB-HICOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Derita mangsa tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu masih belum berpenghujung apabila ramai yang terjejas terus bergelut untuk memulakan semula kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Tragedi letupan paip gas milik Petronas di Putra Heights, Puchong pada jam 8.10 pagi, menyebabkan 219 buah rumah rosak, manakala 220 rumah lagi disahkan selamat.

Meskipun pelbagai bantuan disalurkan, mangsa mengakui jumlah bantuan masih tidak mencukupi bagi menggantikan barangan dan peralatan rumah yang musnah.

Tinjauan Mingguan Malaysia semalam mendapati, penduduk berharap lebih banyak bantuan diberikan, membantu mereka membina kehidupan yang terjejas.

Mangsa, Nurul Hasliza Ishak, 38, berkata, rumahnya musnah sepenuhnya dan tiada pembinaan semula dilakukan di tapak asal dan kini dia menyewa rumah lain dengan bayaran ditanggung kerajaan negeri.

Katanya, bantuan ada, tetapi kalau dibandingkan dengan kerugian dialami termasuk dua motosikal dan barangan rumah yang hangus, ia belum cukup.

“Saya tidak mendaftar untuk skim bantuan rumah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana projek ditawarkan terlalu jauh dari tempat kerja dan sekolah anak-anak, namun bantuan asas seperti makanan dan barangan keperluan harian masih diterima secara berkala,” katanya ditemui selepas menerima sumbangan DRB-HICOM di Balai Penghulu Mukim Petaling II, di sini, semalam.

Sumbangan diberikan kepada 156 keluarga dalam bentuk baucar barangan elektrik, dengan nilai bantuan RM2,500 kepada rumah yang musnah sepenuhnya dan RM1,000 bagi rumah yang mengalami kerosakan kecil.

Mangsa, Zurada Zaibidin, 46, mengakui masih trauma dan belum bersedia menyambung perniagaan kuih muih yang diusahakan lebih 20 tahun.

“Sekelip mata, rumah, motosikal dan kereta musnah. Saya dapat bantuan motosikal, tapi tuntutan insurans kereta masih belum selesai walaupun lulus.

“Bantuan kerajaan ada tetapi tidak mencukupi untuk menggantikan semua barangan yang musnah termasuk peralatan membuat kuih dan kelengkapan rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN