Putra Heights: Bantuan sewa diteruskan kepada 67 isi rumah

Putra Heights: Bantuan sewa diteruskan kepada 67 isi rumah

Putra Heights
KERJA-kerja bina semula dan baik pulih rumah di Taman Putra Harmoni yang terlibat dalam kejadian kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 67 ketua isi rumah (KIR) mangsa letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan terus menerima Bantuan Sewa Sementara Fasa Keempat meskipun selepas lebih enam bulan sejak tragedi tersebut pada April tahun lalu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, 67 KIR terbabit masih belum dapat kembali ke kediaman masing-masing berikutan faktor keselamatan, status pembinaan serta isu dokumentasi pemilikan tanah.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kelmarin yang mengesyorkan kesemua 67 KIR diteruskan bantuan bagi Januari hingga Mac ini.

“Daripada keseluruhan 123 KIR yang menerima Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Ketiga sebelum ini, 56 KIR tidak diteruskan berdasarkan penilaian semasa serta pematuhan kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Bagi Fasa Keempat, bantuan sewa rumah melibatkan 67 KIR, teridiri daripada 65 KIR yang kediamannya masih dalam proses baik pulih manakala dua KIR melibatkan kediaman yang belum dibina disebabkan isu dokumentasi pemilikan tanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya,keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian terkini dan lawatan tapak oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling.

Tambah Borhan, kerajaan negeri juga memutuskan bantuan sewa tidak diteruskan kepada mangsa yang kediamannya siap dan selamat diduduki, serta kes melibatkan keengganan pemilik untuk membenarkan kerja baik pulih dilaksanakan.

“Kerajaan negeri kekal komited memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian secara bersasar, berhemah dan berasaskan penilaian lapangan, sehingga keadaan benar-benar pulih dan selamat,” ujarnya.

Pada Julai tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, insiden letupan pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Sebanyak 79 unit rumah di Taman Putra Harmoni yang terkesan dalam insiden berkenaan diselaras isunya oleh kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, katanya, 49 pemilik bersetuju untuk membenarkan kerja baik pulih dan naik taraf dilaksanakan, manakala baki 30 pemilik menolak atas sebab tertentu.

Selain itu, sebanyak 120 unit rumah di taman berkenaan turut terlibat dalam program baik pulih sederhana dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM60,000.

Manakala untuk Kampung Kuala Sungai Baru pula, Amirudin memaklumkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina semula 11 unit rumah.

Sebanyak 94 unit di kampung tersebut memerlukan baik pulih dengan nilai antara RM30,000. Sebanyak 63 tuntutan bernilai RM1.7 juta telah diselesaikan, manakala selebihnya masih disemak kerana melebihi siling yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN