Peguam ibu Zara Qairina bincang tindakan seterusnya terhadap pihak bertanggungjawab

Peguam ibu Zara Qairina bincang tindakan seterusnya terhadap pihak bertanggungjawab

ZARA Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan berbincang dengan anak guam mereka berhubung kemungkinan mengambil tindakan seterusnya terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab atas kematian remaja itu.

Peguam, Shahlan Jufri berkata, pihaknya ketika ini memberi tumpuan kepada penyediaan hujahan bertulis bagi prosiding inkues kematian Zara Qairina sebelum sebarang keputusan mengenai tindakan lanjut dibuat.

Beliau berkata, keputusan untuk mengambil tindakan sivil atau sebaliknya terletak sepenuhnya di tangan anak guamnya selepas pihak peguam memberikan pandangan daripada sudut perundangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini, kami hanya fokus kepada inkues ini dahulu, terutamanya menyiapkan hujahan bertulis. Itu keutamaan kami.

“Selepas ini, kami perlu berbincang dengan anak guam kerana kami hanya memberikan pandangan perundangan manakala arahan dan keputusan akhir sama ada mahu mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab terpulang sepenuhnya kepada anak guam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh akhir pemfailan hujahan bertulis manakala keputusan inkues dijadualkan bakal diumumkan pada 15 Januari 2027.

Mahkamah turut menetapkan prosiding klarifikasi bersama semua pihak seminggu sebelum keputusan inkues disampaikan.

Shahlan berkata, pasukan peguamnya perlu meneliti semula nota prosiding yang mengandungi sebanyak 5,200 muka surat, selain menilai keterangan 83 saksi dan 350 eksibit dokumen yang dikemukakan sepanjang inkues berkenaan.

Katanya, penelitian itu penting berikutan terdapat beberapa percanggahan keterangan yang perlu dihuraikan dalam hujahan bertulis termasuk keterangan saksi kanak-kanak serta pandangan pakar psikiatri dan pakar tulisan tangan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu mahkamah meneliti percanggahan keterangan saksi, bukti yang dikemukakan serta hasil lawatan tapak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha.

Selain itu, pandangan berhubung pengendalian sekolah dan aspek siasatan turut akan dikemukakan seperti yang diminta Koroner.

Mengulas perjalanan prosiding inkues yang berlangsung selama 96 hari, Shahlan berkata pihaknya bersyukur kerana prosiding berjalan lancar walaupun tempoh berkenaan memerlukan komitmen besar daripada semua pihak.

Beliau berkata, inkues itu turut berlangsung serentak dengan perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak sekali gus memerlukan penelitian rapi terhadap pelbagai perkara sebelum hujahan bertulis disiapkan.

“Kami berharap keputusan yang bakal dibuat kelak adalah adil kepada semua pihak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahlan menjelaskan dana yang dikumpulkan bagi menampung perbelanjaan inkues berkenaan berjumlah lebih RM200,000 dan bukannya RM1 juta atau RM2 juta seperti yang diperkatakan.

Katanya, dana itu sudah diaudit oleh akauntan bertauliah bebas yang dilantik oleh anak guamnya bersama pasukan peguam dengan penggunaannya dikhususkan bagi perbelanjaan inkues berkenaan.

Beliau berkata, pasukan peguam menjalankan tugas secara pro bono dan tidak menggunakan dana itu untuk membayar yuran guaman atau kos perundangan mereka.

Menurutnya, audit berkenaan selesai pada April lalu namun tiada keperluan daripada sudut undang-undang untuk pihaknya atau anak guam mengemukakan laporan audit itu kepada orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini