Ibu Zara Qairina enggan benar bedah siasat

Ibu Zara Qairina enggan benar bedah siasat

Peguam bela Zara, Nizam Salleh (kanan) bersama-sama ibu Arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat dan bapa saudara Zara, Abu Bakar Lamat hadir Mahkamah Sesion Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat enggan membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah anaknya pada 17 Julai tahun lalu, meskipun sudah diberikan penjelasan oleh polis mengenai keperluan prosedur itu bagi membantu siasatan.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung yang merupakan saksi ke-83 berkata, beliau bertemu Noraidah di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada hari berkenaan selepas remaja berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 1.07 tengah hari.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon daripada Dr. Pavankumar Balachandran sekitar 1.35 tengah hari yang memaklumkan Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischaemic encephalopathy.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas menerima panggilan tersebut, beliau bersama jurugambar bertugas bergegas ke QEH dan tiba sekitar  jam 3.30 petang sebelum bertemu Dr Pavankumar dan Noraidah di Wad Neuro Pembedahan.

“Ketika di wad, saya memaklumkan dan menjelaskan kepada ibu Zara bahawa pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan ke atas jenazah anaknya bagi membantu siasatan berhubung kematiannya.

“Bagaimanapun, ibu Zara menjawab ‘tidak’ dan enggan membenarkan bedah siasat dijalankan.

“Saya menjelaskan semula mengenai pemeriksaan bedah siasat kepadanya, tetapi beliau tetap berpendirian tegas dengan berkata, ‘Tidak. Saya mahu mengebumikannya dengan segera’,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini  hari ini.

Dalam pada itu, Yew Zhung menjelaskan tiada borang POL 61 iaitu permohonan polis bagi pemeriksaan bedah siasat dikeluarkan berikutan penolakan Noraidah terhadap prosedur itu.

Beliau berkata, Noraidah turut menandatangani beberapa dokumen pada 17 Julai 2025 sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Antara dokumen berkenaan ialah Pengisytiharan Penolakan Sukarela Bedah Siasat, yang menyatakan Noraidah tidak berhasrat menjalankan bedah siasat, tidak mengesyaki unsur jenayah dan tidak akan meminta laporan bedah siasat daripada pihak hospital bagi tujuan mediko-legal, insurans atau tuntutan lain.

Dua dokumen lain yang ditandatangani ialah Borang Pemberitahuan Kematian dan Pengurusan Mayat serta Pengisytiharan Pengesahan Urusan Pengebumian.

Bagaimanapun, Yew Zhung berkata, beliau memohon perintah menggali semula kubur Zara pada 9 Ogos 2025 susulan arahan Jabatan Peguam Negara dan diperoleh daripada Majistret Zuraini Ali Musa sekitar 3 petang pada hari sama mengikut Seksyen 335(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Yew Zhung bersama pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kemudian bergerak ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Kampung Mesapol Lama, Sipitang, untuk menjalankan proses menggali semula kubur berkenaan.

Proses itu selesai pada malam berkenaan sebelum jenazah Zara dibawa ke Jabatan Forensik QEH untuk pemeriksaan bedah siasat.

Menurutnya lagi, pemeriksaan bermula kira-kira 11 pagi pada 10 Ogos 2025 dan diketuai Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu, dengan dibantu tiga doktor lain, iaitu Dr Khairul Anuar Zainun, Dr Muhammad Uzair Ahmad Suriani dan Dr Lau Cheng Cheng.

“Turut hadir ketika prosedur itu ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar, Asisten Komisioner Rosli Rasi, saya sendiri, Inspektor Desmond Tanggapan, ibu Zara serta wakil undang-undangnya, Shahlan Jufri,” katanya.

Yew Zhung turut menambah berdasarkan hasil pemeriksaan bedah siasat, Dr Jessie merumuskan punca kematian Zara ialah kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischaemic encephalopathy.

“Punca kematian yang ditentukan Dr Jessie selepas bedah siasat adalah sama seperti yang disahkan pada 17 Julai 2025.

“Pemeriksaan terhadap kecederaan pada badan Zara juga menunjukkan ia konsisten dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini